
Pusingan pertama EPL di Emirates menyaksikan Arsenal dan City terikat 1-1.
PERSAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semakin mendebarkan, dengan Arsenal terus cuba mempertahankan kedudukan di puncak daripada asakan Manchester City.
Namun kekalahan mengejut 1-2 Arsenal kepada Bournemouth pada hujung minggu membuka semula ruang buat City, yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Situasi ini menjadikan perebutan gelaran semakin rumit, malah tidak mustahil kedua-dua pasukan menamatkan musim dengan jumlah mata yang sama.
Jadi, siapa akan dinobatkan sebagai juara jika senario itu berlaku?
Peraturan liga menetapkan penentuan pertama adalah perbezaan gol, iaitu jumlah jaringan ditolak dengan jumlah bolos sepanjang musim
Dalam aspek ini, setiap gol menjadi sangat bernilai, terutama ketika musim menghampiri garisan penamat.
Jika kedua-dua pasukan masih terikat, jumlah jaringan keseluruhan pula akan diambil kira.
Sejarah pernah menyaksikan situasi dramatik seperti ini, termasuk kejayaan City pada 2012 hasil jaringan lewat Sergio Agüero yang menjadi detik ikonik liga.
Sekiranya kedua-dua kriteria itu masih gagal memisahkan mereka, rekod pertemuan sesama sendiri akan menjadi penentu seterusnya.
Arsenal dan City sudah seri 1-1 dalam pertemuan pertama musim ini, dan aksi kedua di Etihad pada 19 April ini bakal membawa makna besar kepada hala tuju kejuaraan.
Jika kedua-dua perlawanan itu juga berakhir seimbang, kelebihan akan diberikan kepada pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol di tempat lawan dalam pertemuan tersebut.
Namun, andai semua faktor ini masih tidak mampu membezakan kedua-dua pasukan itu, satu senario luar biasa boleh berlaku iaitu perlawanan penentuan khas di gelanggang neutral.
Perlawanan itu akan berlangsung seperti aksi biasa selama 90 minit, diikuti masa tambahan dan penentuan sepakan penalti jika masih terikat.
Ia bakal menjadi penutup paling dramatik dalam sejarah liga, satu perlawanan hidup mati untuk menentukan siapa sebenar raja bola sepak England musim ini.



