Senegal bergolak selepas tersungkur di Piala Dunia

Senegal bergolak selepas tersungkur di Piala Dunia

Atlanta: Gelombang kritikan dijangka melanda kem Senegal selepas penyingkiran dramatik mereka di Piala Dunia, apabila perpecahan dalam skuad mula terserlah susulan kekalahan 2-3 kepada Belgium di Seattle, semalam.

Masa depan jurulatih, Pape Bouna Thiaw, kini menjadi tanda tanya selepas Senegal mensia-siakan kelebihan 2-0 sebelum tersingkir daripada kejohanan.

Thiaw juga sedang menjalani penggantungan bagi lima perlawanan pertama kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) Senegal yang bermula September ini.

Senegal hanya memerlukan lima minit lagi untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik sebelum membenarkan Belgium bangkit menyamakan kedudukan.

Belgium kemudian melengkapkan kebangkitan dramatik dengan kemenangan 3-2 menerusi sepakan penalti pada minit ke-125 selepas keputusan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada saat-saat akhir memihak kepada mereka.

Lebih memburukkan keadaan, pemain tengah berpengaruh Senegal, Pape Gueye, mengumumkan dia tidak lagi mahu beraksi di bawah kendalian Thiaw.

Menerusi hantaran di media sosial, Gueye berkata: “Saya akan kembali kemudian untuk bercakap mengenai penyingkiran kami. Tetapi hari ini saya ingin mengumumkan bahawa selagi barisan kejurulatihan ini masih mengendalikan pasukan, saya akan berehat daripada skuad kebangsaan.”

Gueye sebelum ini mengejutkan ramai apabila hanya diletakkan di bangku simpanan ketika menentang Iraq di Toronto, Jumaat lalu, sebelum masuk sebagai pemain gantian dan meledak dua gol.

Dia kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Belgium, namun dikeluarkan pada pertengahan babak kedua.

Thiaw turut menerima kecaman hebat daripada media Senegal susulan kegagalan itu.

Akhbar Yoor-Yooir menyifatkan kejatuhan bersejarah Senegal bukan berpunca daripada kelemahan pemain, sebaliknya akibat pengurusan pasukan dan keputusan taktikal yang dianggap gagal oleh jurulatih.

Bagaimanapun, Thiaw mempertahankan keputusannya dengan menjelaskan beberapa pemainnya sudah keletihan dan tidak mampu meneruskan aksi.

“Jadi kami terpaksa membuat pertukaran. Apabila anda kalah, orang pasti akan mengatakan pertukaran itu tidak menjadi kerana kami sebelum itu berada di depan.

“Tetapi itulah bola sepak. Kami perlu menerimanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top