Sengatan Obor-obor bulan tidak boleh dipandang remeh

Sengatan Obor-obor bulan tidak boleh dipandang remeh

Phuket: Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada pengunjung pantai dan pelancong supaya tidak menyentuh obor-obor bulan selepas kira-kira 20 hingga 30 spesies itu ditemukan terapung dan terdampar di sepanjang pantai di Teluk Siam, Racha Yai, di sini.

Memetik laporan The Nation, amaran berkenaan dikeluarkan selepas Pusat Penyelidikan Sumber Marin dan Pantai Andaman Atas dimaklumkan oleh pegawai daripada unit pengurusan kawasan perlindungan Kepulauan Racha.

Obor-obor itu dikenal pasti sebagai obor-obor bulan atau Aurelia sp iaitu spesies biasa yang bisanya dianggap ringan dan tidak mengancam nyawa.

Bagaimanapun, pegawai menegaskan bahawa sentuhan boleh menyebabkan ruam merah dan kerengsaan kulit terutamanya kepada individu yang lebih sensitif terhadap sengatan.

Penemuan ini berlaku apabila obor-obor itu dilihat hanyut di permukaan air dan terkandas di sepanjang pesisir pantai Teluk Siam di Racha Yai.

Pegawai menggesa pelawat supaya tidak panik tetapi mengingatkan bahawa sentuhan langsung harus dielakkan demi keselamatan.

Walaupun obor-obor bulan tidak dianggap sebagai pemangsa maut, Jabatan Sumber Laut dan Pantai memberi amaran bahawa sengatannya tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, pendedahan kepada hidupan itu masih boleh menyebabkan kegatalan, kerengsaan dan gejala tidak normal yang lain terutamanya bagi mereka yang sensitif terhadap bisa obor-obor.

Sesiapa yang mengalami gejala luar biasa selepas bersentuhan dengan hidupan itu perlu segera mendapatkan rawatan kecemasan dan bantuan perubatan tanpa berlengah.

Pegawai menegaskan bahawa amaran itu bertujuan melindungi penduduk tempatan dan pelawat yang berkunjung ke laut sempena tempoh cuti ini.

Katanya, pelancong secara khusus diingatkan supaya tidak menyentuh obor-obor berkenaan dalam sebarang keadaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top