Sengketa Piala Negara-Negara Afrika uji hubungan Senegal-Maghribi

Sengketa Piala Negara-Negara Afrika uji hubungan Senegal-Maghribi

Dakar: Hubungan akrab antara Senegal dan Maghribi kini diuji susulan kontroversi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang menyaksikan Senegal pada mulanya muncul juara pada pertengahan Januari sebelum gelaran itu ditarik balik dan diberikan kepada Maghribi.

Isu trofi AFCON itu kini menjadi titik ketegangan antara kedua-dua negara yang sekian lama mempunyai hubungan erat dari sudut diplomatik, ekonomi dan rakyat.

Di Rue Mohamed V, lokasi peniaga Maghribi berniaga di ibu negara Senegal, sebuah van polis dilihat berkawal.

“Polis berada dalam tahap berjaga-jaga sejak Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) memutuskan untuk menganugerahkan gelaran itu kepada Maghribi, namun setakat ini tiada insiden berlaku,” kata seorang penduduk tempatan kepada AFP.

CAF pada 17 Mac lalu menarik balik gelaran Senegal susulan tindakan marah pasukan itu meninggalkan padang selepas sepakan penalti diberikan kepada Maghribi pada penghujung masa kecederaan babak kedua.

Sehari kemudian, Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye, dilihat berada di pejabatnya dengan trofi berkenaan diletakkan di belakang beliau.

Senegal sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), manakala sebahagian penyokong pula menggesa pemulauan terhadap barangan Maghribi.

Pada 18 Mac, Dakar turut menggesa siasatan antarabangsa dijalankan terhadap ‘dakwaan rasuah dalam kepimpinan CAF’, dalam kenyataan yang menimbulkan rasa kurang senang di pihak Maghribi.

“Dokumen rasmi (Senegal) itu menyebut rasuah. Ia memberi gambaran seolah-olah Maghribi adalah pihak yang merasuah walaupun tiada bukti, dan ini boleh memberi kesan,” kata pegawai olahraga Morocco dan bekas atlet, Aziz Daouda.

Beliau menambah, kenyataan beberapa pegawai bola sepak Senegal turut menjejaskan hubungan antara dua negara itu, termasuk dakwaan bahawa Maghribi menguasai CAF.

Penyokong ditahan jadi isu

Antara perkara yang mencetuskan kemarahan di Senegal ialah penahanan 18 penyokong bola sepak negara itu di Maghribi sejak lebih dua bulan lalu.

Mereka dijatuhi hukuman penjara antara tiga bulan hingga setahun pada 19 Februari atas kesalahan hooliganisme.

Beberapa minit sebelum tamat perlawanan, sebahagian penyokong Senegal dilaporkan cuba memasuki padang, manakala pemain Senegal pula menghentikan permainan hampir 20 minit sebagai bantahan terhadap penalti lewat yang diberikan kepada Maghribi.

Prosiding rayuan membabitkan 18 penyokong itu ditangguhkan buat kali kedua pada Isnin lalu hingga 13 April.

Pada penghujung Februari, puluhan penunjuk perasaan di Dakar menggesa mereka dibebaskan dan menyifatkan kumpulan itu sebagai ‘tebusan’ Maghribi.

“Orang boleh merasakan bahawa isu ini sudah melangkaui sukan, dan itu sesuatu yang dikesalkan. Bagi dua negara yang mendakwa bersahabat seperti Maghribi dan Senegal, keadaan tidak sepatutnya menjadi seperti ini,” kata Perdana Menteri Senegal, Ousmane Sonko, pada penghujung Februari sambil melahirkan kekesalan terhadap sabitan ke atas penyokong terbabit.

Namun begitu, hubungan Maghribi dan Senegal tetap dianggap luar biasa oleh beberapa pihak.

Pengarah Hal Ehwal Agama Senegal, Djim Ousmane Drame, dalam satu artikel baru-baru ini menyifatkan hubungan kedua-dua negara sebagai ‘unik, khusus dan luar biasa’.

Menurut Bakary Sambe dari badan pemikir Timbuktu Institute, Maghribi sentiasa menjadi satu-satunya negara Afrika yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Senegal berasaskan ikatan emosi dan sokongan rakyat, bukan sekadar institusi serta hubungan dua hala.

Fez misalnya menjadi destinasi penting bagi ramai pengikut Tidianisme dari Senegal, iaitu tarekat berpengaruh di negara itu, kerana pengasasnya, Cheikh Ahmed Tidiane, dikebumikan di sana.

Pihak berkuasa Maghribi pula tidak mengulas isu terbabit dan memilih untuk tidak terbabit secara langsung dalam kontroversi bola sepak berkenaan selepas keputusan CAF, kata Daouda.

Rakan dagang dan diplomatik

Pada penghujung Januari di Rabat, Perdana Menteri Maghribi, Aziz Akhannouch, menyifatkan hubungan dengan Senegal sebagai ‘semula jadi dan berkekalan’, sambil memaklumkan Maghribi sudah melabur lebih AS$540 juta (RM2.18 bilion) di negara itu.

Banyak syarikat Maghribi beroperasi di Senegal terutama dalam sektor makanan, farmaseutikal, tenaga, pembinaan, perlombongan, perbankan dan insurans.

Di pentas antarabangsa pula, pendirian diplomatik kedua-dua negara lazimnya sehaluan.

Rakyat Senegal juga merupakan kumpulan penduduk asing terbesar di Maghribi, iaitu 18.4 peratus daripada jumlah keseluruhan, berdasarkan angka rasmi, selain kedua-dua negara turut mempunyai pertukaran pelajar yang kukuh.

“Ada ramai antara kami di kedua-dua pihak yang cuba menenangkan golongan panas baran dari kedua-dua kem yang gemar menyebarkan dakwaan tidak bertanggungjawab, banyak berita palsu dan pelbagai penghinaan,” kata Daouda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top