SENHENG Malaysia memulakan babak baharu dengan pelaksanaan transformasi kepimpinan dan inovasi berorientasikan masa depan di bawah Pengarah Urusan, Lim Kim Heng, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Kim Heng berkata, perubahan itu disokong 12 strategi teras yang menumpukan inisiatif digital berteraskan pelanggan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan struktur organisasi yang lebih ringkas.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, memajukan keupayaan digital dan memberikan pengalaman bernilai untuk pelanggan. Ia juga direka bagi memastikan perniagaan kekal relevan dalam landskap runcit yang sentiasa berkembang pesat.
“Beberapa inisiatif dikenal pasti sebagai pemangkin perubahan dengan kesan segera kepada pelanggan dan warga kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, syarikat memperkenalkan automasi berasaskan AI merentasi pelbagai jabatan untuk mempermudah proses berulang, meningkatkan kecekapan serta membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada pelanggan.
“Inisiatif AI dibangunkan atas pelaburan infrastruktur Datalake proprietari dan pelancaran New Retail Solution (NRS) 2.0 bagi membolehkan pembuatan keputusan yang lebih pantas, pintar dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan untuk semua pelanggan.
“Kami percaya AI dapat menyokong pekerjaan menjadi lebih pantas dan tepat. Matlamat akhir adalah untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada setiap pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, Senheng turut memperkukuh kehadiran digital dengan mempercepat kandungan dan perdagangan melalui media sosial serta interaksi berasaskan chat.
“Mengambil kira perubahan tingkah laku pengguna, Senheng memperluaskan kehadirannya di platform digital termasuk TikTok untuk berhubung dengan pengguna baharu dan memacu interaksi yang lebih bermakna.
“Syarikat juga melabur dalam kualiti kandungan dan tahap penglibatan bagi memenuhi jangkaan dunia digital masa kini,” ujarnya.
Jelas Kim Heng, Senheng telah memperkenalkan struktur organisasi yang lebih tangkas dengan matlamat memperkasa kepimpinan generasi baharu.

Barisan kepimpinan baharu Senheng Malaysia.
“Struktur dinamik ini diterajui oleh pasukan C-suite yang menggalakkan pemilikan secara desentralisasi disokong oleh pemantauan dan petunjuk prestasi utama (KPI) jelas.
“Ia adalah tentang memberikan ruang kepada orang yang tepat untuk memimpin dan alat yang betul untuk mereka berjaya,” katanya.
Selain itu, Kim Heng yakin pelancaran NRS 2.0 dan keupayaan Datalake yang semakin bersepadu meletakkan Senheng pada landasan kukuh untuk kelincahan serta pertumbuhan jangka panjang.
“Tulang belakang digital ini akan menyokong aspek penting termasuk pemasaran berasaskan keutamaan pengguna, kecekapan pengurusan inventori dan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.
“Sebagai salah satu jenama pengguna terkemuka di Malaysia, Senheng kekal fokus membantu pelanggan meningkatkan taraf hidup, perkhidmatan unggul dan inovasi,” ujar beliau.