syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur :Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) meminta semua pihak agar tidak terburu-buru menghukum seorang pelakon wanita dan suaminya yang didakwa terbabit dalam kes penipuan (scam) berjumlah RM300,000 seperti yang tular di Threads beberapa hari ini.
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, setakat ini dakwaan yang tular di aplikasi Threads itu masih dianggap sebagai spekulasi selagi tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa atau kenyataan daripada individu yang dituduh.
“Walaupun ada laporan daripada pengadu, ia tidak bermakna orang yang dituduh itu bersalah secara automatik. Kita tidak boleh menghakimi seseorang tanpa bukti sah daripada mahkamah atau agensi kerajaan yang diiktiraf,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Zed menjelaskan bahawa dalam banyak keadaan, golongan artis juga boleh menjadi mangsa keadaan atau dipergunakan oleh pihak ketiga tanpa sedar.
“Zaman sekarang ‘scammer’ sangat licik. Mereka boleh memanipulasi teknologi Kepintaran Buatan (AI) untuk meniru suara artis seperti yang pernah berlaku kepada Khairul Aming dan Faizal Hussein.
“Kadang-kadang artis itu sendiri terperangkap, contohnya apabila ada pihak meminta bantuan menggunakan akaun bank mereka atas alasan tertentu,” katanya.
Menurutnya, Seniman bersedia memberikan khidmat nasihat atau rundingan sekiranya perlu, namun tetap bergantung kepada hasil siasatan badan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Biar pihak berkuasa lakukan siasatan dahulu. Jika benar terbukti bersalah di mahkamah, barulah tindakan selanjutnya boleh diambil mengikut proses undang-undang. Kita mahu mengelakkan fitnah atau persepsi di media sosial,” katanya.
Terdahulu, tular dakwaan seorang pelakon wanita ‘hilang’ dan gagal dihubungi, dipercayai terbabit dalam isu penipuan wang ringgit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




