am@hmetro.com.my
Butterworth: Senjata api termasuk ratusan peluru yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di kawasan perairan Pulau Pinang pada Isnin lalu dipercayai untuk dijual kepada beberapa geng kongsi gelap di negeri ini.
Ketua Polis negeri Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana siasatan secara terperinci masih dijalankan.
Bagaimanapun katanya, polis sudah mengenalpasti sebahagian rangkaian yang terbabit membawa masuk senjata api itu termasuk di negara jiran.
“Kes ini membabitkan (rangkaian) agak besar, jadi saya tak boleh nak beritahu dengan lebih lanjut.
“Cuma (siasatan awal) ia organisasi membabitkan kumpulan kongsi gelap di tempat kita (Pulau Pinang),” katanya ketika ditemui pada Majlis Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan di Sungai Dua, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, empat suspek termasuk dua warga Indonesia berusia 22 hingga 57 tahun yang ditahan berhubung penyeludupan senjata api berkenaan masih direman sehingga 3 Februari ini untuk siasatan lanjut.
“Buat masa ini kita sedang menyusun dengan begitu rapi soal siasat kita (terhadap kesemua suspek), sebab kita nak pastikan bahawa elemen siasatan mencukupi untuk melengkapkan (siasatan) dari semua aspek,” katanya.
Terdahulu media melaporkan empat lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan polis bersama lima pucuk pistol, selaras senapang M4 serta 801 butir peluru dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, dekat sini, Isnin lalu.
Penahanan dibuat atas maklumat dan risikan, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban sebelum menahan dua bot fiber gentian kaca yang tiada nombor pendaftaran dan dalam mencurigakan pada 3.10 petang.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan lima pucuk pistol iaitu dua jenama Sig Sauer bersama tiga kelopak, dua jenama Glock (dua kelopak) dan Smith and Wessin bersama satu kelopak serta selaras senapang M4, 600 butir peluru M4, 200 butir peluru 9mm dan sebutir peluru jenis S&B.
Polis turut merampas pelbagai lagi barangan lain antaranya telefon satelit, telefon bimbit, beg, peralatan GPS, wang tunai sebanyak RM4,030 dan dua pasport milik dua warga asing dalam operasi khas Tahun Baharu Cina Fasa Dua 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




