Sentimen peniaga positif sebelum kes COVID-19 melonjak

Sentimen peniaga positif sebelum kes COVID-19 melonjak

zahrin@bh.com.my

PUTRAJAYA: Peniaga menjangkakan prestasi perniagaan, pendapatan dan pekerja kembali meningkat bermula suku kedua 2021 dan enam bulan akan datang, sebelum kes COVID-19 kembali meningkat serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dilaksanakan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peniaga lebih yakin dengan prospek perniagaan pada suku kedua tahun ini dengan petunjuk keyakinan yang lebih baik pada -3.1 peratus berbanding -11.3 peratus yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, jangkaan keyakinan peniaga ketika itu berdasarkan kes positif COVID-19 yang semakin perlahan sejajar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi merancakkan kembali ekonomi.

Katanya, semua sektor meramalkan situasi perniagaan yang lebih cerah pada suku kedua 2021 sekiranya keadaan ekonomi terkawal.

“Malah, 35.2 peratus peniaga turut meramalkan pendapatan mereka akan meningkat pada suku kedua berdasarkan kepada aktiviti sosial dan ekonomi ketika itu yang semakin rancak,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Survei Kecenderungan Perniagaan.

Mohd Uzir berkata, sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan lonjakan ke tahap positif buat kali pertama sejak suku ketiga 2019 dengan peningkatan 5.6 peratus berbanding -11.8 peratus pada suku pertama 2021.

“Petunjuk keyakinan bagi sektor industri dan perkhidmatan pula mencatat negatif yang lebih baik masing-masing dengan -1.5 peratus dan -6.1 peratus berbanding -4.4 peratus dan -15.0 peratus pada suku sama tahun lalu.

“Pada masa yang sama, sektor pembinaan kekal sebagai sektor yang paling pesimis dengan perspektif yang lebih baik iaitu -30.5 peratus berbanding -51.2 peratus pada tahun lalu.

“35.2 peratus peniaga juga optimis pendapatan akan meningkat manakala 41.7 peratus merasakan akan kekal sama dengan hanya 23.1 peratus yang meramalkan penurunan, sekali gus mendorong lonjakan imbangan bersih pada 12.1 peratus,” katanya.

Survei Kecenderungan Perniagaan berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada 10 Mac sehingga 26 April lalu, iaitu sebelum peningkatan kes COVID-19 serta tidak mengambil kira pelaksanaan PKP 3.0.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, jangkaan pengekalan pekerja turut meningkat dengan 72 peratus syarikat menyatakan akan mengekalkan pekerja masing-masing.

Beliau berkata, 14.3 peratus syarikat pula menjangkakan pertambahan bilangan pekerja manakala 13.7 peratus akan mengurangkan tenaga kerja, memberikan imbangan bersih 0.6 peratus.

“Secara keseluruhan, persepsi perniagaan bagi April sehingga September 2021 melonjak kepada trajektori positif dengan imbangan bersih 11 peratus berbanding -4.6 peratus yang direkodkan sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top