Sentuhan De Bruyne barakan impian Eropah Manchester City

Sentuhan De Bruyne barakan impian Eropah Manchester City
De Bruyne watak penting menjelmakan gol kemenangan City ke atas Wolverhampton. Foto Agensi

De Bruyne watak penting menjelmakan gol kemenangan City ke atas Wolverhampton. Foto Agensi

MAGIS Kevin De Bruyne sekali lagi mewarnai Stadium Etihad apabila kapten Manchester City itu muncul sebagai wira dengan jaringan tunggal, memastikan kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers pada Sabtu.

Tiga mata berharga ini bukan sahaja melonjakkan The Citizens ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, malah menyemarakkan impian penyandang juara itu untuk kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini membuktikan konsistensi dengan tujuh perlawanan liga tanpa kalah, mengumpul 64 mata selepas 35 perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan City memberi tekanan kepada pesaing terdekat, Newcastle United, yang ketinggalan dua mata, selain meninggalkan Chelsea dan Nottingham Forest dengan kelebihan empat mata, walaupun kedua-duanya masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Guardiola tidak menyembunyikan kegembiraannya dengan peningkatan prestasi pasukannya, namun tetap mengingatkan anak buahnya agar tidak alpa menjelang baki perlawanan musim ini.

“Kami lebih baik daripada beberapa minggu lalu, memenangi perlawanan berturut-turut.

“Adalah baik untuk menang apabila kami bermain seperti hari ini, tetapi kami tidak boleh bersantai — Southampton, Bournemouth, dan Fulham masih menanti,” kata Guardiola.

Wolves, yang hadir dengan rekod enam kemenangan berturut-turut, terpaksa akur dengan kekalahan tipis dan kini menduduki tangga ke-13.

Biarpun kecewa dengan keputusan itu, pengendali Vitor Pereira tetap memuji pemain-pemainnya yang mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan.

“Saya sangat bangga dengan pasukan ini. Saya katakan bahawa kami boleh kalah dalam perlawanan, tetapi kami tidak boleh kehilangan identiti, keberanian, cita-cita, komitmen dan semangat berpasukan kami.

“Hari ini kami menunjukkan semua itu dalam pasukan ini,” kata Pereira.

Scroll to Top