am@hmetro.com.my
SEBAGAI anak kepada Seniman Negara Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab pastinya Nasir Khan berusaha untuk memelihara, sekali gus meneruskan legasi muzik arwah bapanya.
Justeru, Nasir Khan bersyukur dengan penerbitan buku muzik Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab setebal 570 halaman yang menghimpunkan sebanyak 300 lagu ciptaan Allahyarham.
Ia yang diterbitkan dalam dua jilid memuatkan nota lagu, kisah di sebalik karya ciptaan Allahyarham serta foto eksklusif sepanjang perjalanan seni legenda muzik berkenaan.
Nasir Khan berkata, arwah bapanya memiliki impian untuk menerbitkan buku muzik itu bagi berkongsi ilmu dengan masyarakat.
“Projek buku muzik ini diilhamkan ketika arwah bapa masih ada dan beliau tahu saya berusaha untuk menyiapkan buku ini.
“Penerbitan buku muzik ini bukan sekadar mengabadikan warisan muzik arwah bapa untuk dijadikan bahan rujukan penting kepada generasi muda dalam memahami dan menghargai identiti lagu Melayu.
“Justeru, secara tidak langsung arwah mungkin akan memiliki ramai ‘anak murid’ baharu kerana buku muzik itu boleh dimanfaatkan terutama oleh mereka yang berminat dalam bidang muzik,” katanya.
Penerbitan buku muzik berkenaan mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi melalui agensi MyCreative Ventures dan majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Nasir Khan berkata, dia berjaya menerbitkan buku muzik itu yang menjadi impian akhir arwah bapanya sekali gus meneruskan legasi muzik maestro terbabit.
“Sebab kita kena fikir lagu beliau dihasilkan dari 1950-an sampai hari ini dan masih diputarkan di stesen radio.
“Apa formula dan magis beliau kerana dari lagu pertama ciptaannya iaitu Angin Malam dan Bossanova itu masih kekal hingga hari ini.
“Insya-Allah, menerusi buku muzik ini, orang ramai boleh mengetahui bagaimana lagu ciptaan beliau berkekalan. Ia disebabkan melodi kemelayuannya, seni kata serta lirik yang bagus,” katanya.
Berkongsi cabaran pula, Nasir Khan mengakui bukan mudah untuk menerbitkan buku muzik berkenaan.
“Paling mencabar ialah untuk transkrip dan terjemahkan dalam buku muzik ini.
“Arwah bapa ada ‘master’ simpanan lagu ciptaannya, tapi nak dibukukan susah sebab kita nak dapat orang yang betul-betul mahir dalam muzik seperti penggubah lagu kerana nota lagu sangat penting kalau salah takut nanti sumbang,” katanya.
Dari segi pemilihan lagu pula, kata Nasir Khan, arwah bapanya ada 2,000 lagu, tapi dalam buku jilid pertama itu hanya dimuatkan 300 lagu.
“Lagu yang dipilih untuk buku jilid pertama ialah lagu agak popular. Ia bukan sekadar lagu, tetapi turut ada cerita dan sejarah di sebalik penciptaan lagu itu termasuk tahun bila dicipta dan siapa penyanyi pertamanya.
“Contohnya, kenapa beliau cipta lagu Seiring Sejalan dan lagu Sabarlah Menanti dendangan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini. Selain itu, lagu Aku Penghiburmu, penyanyi pertamanya ialah Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan selepas itu Broery Marantika, terbaru Datuk Jamal Abdillah.
“Tapi, kami pilih lagu yang sesuai kerana tidak boleh nak masukkan semua cerita dalam 300 lagu dalam buku muzik ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




