Sentuhan istimewa pujaan ramai

Sentuhan istimewa pujaan ramai

razis@mediaprima.com.my

SETIBANYA di pekarangan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lenggong, Perak, kelihatan tiga individu yang sedang sibuk memblok batik tanah liat sambil dibantu penyelia mereka.

Apabila dihampiri, mereka menyambut kehadiran penulis bersama rakan media dan pihak Kraftangan Malaysia dengan senyuman yang cukup manis.

Melihat hasil kerja tangan mereka yang cukup kemas dan berkualiti, siapa sangka Nurul Jannah Jamaluddin, 28, Sopiyah Pathil, 32 dan Nur Husna Najwa Merzuki, 25, adalah orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.

Mereka adalah tiga daripada enam OKU di PPDK Lenggong yang dibantu menerusi Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) bidang kraf batik.

Batik tanah liat yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan apabila hampir setiap bulan mereka akan menyertai pelbagai program di seluruh negara.

Baru-baru ini, Komuniti Kraf Batik Tanah Liat di Lenggong mencatat sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Komuniti Kraf yang pertama kali diperkenalkan pada Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Penyelia PPDK Lenggong, Asmaeyah Sihabuddin berkata, pengiktirafan yang diterima pada HKK 2024 baru-baru ini berjaya melonjakkan lagi batik tanah liat Lenggong ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ini membuktikan biarpun kekurangan, OKU juga mampu meraih kejayaan seperti orang normal yang lain apabila diberikan peluang.

“Saya tidak nafikan sejak menerima anugerah itu, batik tanah liat Lenggong semakin dikenali dan ramai yang tidak menyangka bahawa produk batik ini dihasilkan golongan OKU.

“Kami juga tidak menang tangan menerima tempahan dan kadang kala terpaksa menolak dengan baik kerana tidak mampu untuk menyediakan (tempahan) dalam jumlah yang besar,” katanya ketika ditemui dalam Program Media Turun Padang di Perak anjuran Kraftangan Malaysia.

Program bertujuan meninjau perkembangan komuniti kraf Perak khususnya di Lenggong dan Kuala Kangsar termasuklah kisah kejayaan membangunkan komuniti setempat menerusi PPKK.

Menariknya, Komuniti Kraf Batik Tanah Liat di Lenggong mengetengahkan penghasilan batik melalui inovasi baharu yang dibangunkan Kraftangan Malaysia dengan menjadikan tanah liat sebagai pengganti kepada bahan penghalang warna selain lilin.

Melalui inovasi sebatian penghalang warna untuk industri tekstil, Kraftangan Malaysia berjaya menerima Perak bagi Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2024 untuk kategori Anugerah Karya Lestari.

Mengulas lanjut, Asmaeyah berkata, pemilihan batik tanah liat dibuat kerana ia lebih selamat dan kurang berisiko untuk dikendalikan golongan OKU di sini

“Selain lebih mesra alam, inovasi yang dibangunkan Kraftangan Malaysia ini lebih mudah untuk diajar dan dikuasai anak-anak istimewa di sini.

“Pada masa yang sama, ia dapat membantu meningkatkan perkembangan kemahiran motor halus mereka apabila dapat ‘bermain’ dengan tanah liat,” katanya.

Asmaeyah bersyukur kerana pihak Kraftangan Malaysia banyak membantu khususnya dengan mengadakan makmal kemahiran untuk merealisasikan program itu di PPDK Lenggong.

Tambahnya, sejak program itu diperkenalkan 2022, dia melihat banyak perubahan positif berlaku terhadap anak-anak istimewa ini.

“Sebelum ini, mereka bergaul sesama sendiri sahaja namun kini, selepas diberi peluang menyertai pelbagai program, kita dapat melihat anak-anak istimewa ini tidak kekok dan berani untuk bergaul dengan komuniti.

“Selain itu, pengurusan masa juga semakin teratur dan mereka tahu apa yang ingin dilakukan setiap hari mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelatih PPDK Lenggong, Nur Husna berkata, dia sangat seronok apabila diberi peluang untuk menghasilkan batik daripada tanah liat.

“Selepas mendapat tunjuk ajar daripada cikgu, saya boleh hasilkan batik sendiri. Sebenarnya tidak susah untuk hasilkan batik.

“Saya seronok setiap kali diberi peluang untuk menghasilkan batik bersama rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata, rentetan daripada kejayaan menghasilkan sebatian penghalang warna daripada tanah liat, pihaknya memperkenalkan inovasi itu kepada PPKK di negeri ini untuk penghasilan produk batik.

“Di Perak, kita ada PPKK Lenggong, Manong, Bagan Serai dan Tapah menggunakan inovasi ini untuk menghasilkan batik tanah liat yang dibangunkan secara komprehensif di negeri ini.

“Dalam program ini, kita fokuskan kepada kumpulan belia, asnaf, ibu tunggal dan OKU. Selain daripada penawaran kemahiran, kita jangka ia dapat membantu daripada segi penjanaan ekonomi dan keseluruhan rantaian pembekal dan pembuat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top