Sentuhan pemusnah Haaland jadi igauan Villarreal

Sentuhan pemusnah Haaland jadi igauan Villarreal

Villarreal: Erling Haaland meneruskan rentak jaringan luar biasa apabila membantu Manchester City meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Villarreal dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola yang masih belum tewas meraih kemenangan hasil jaringan separuh masa pertama daripada Haaland dan Bernardo Silva.

Penyerang Norway itu kini meledak dalam 12 perlawanan berturut-turut bersama kelab dan negaranya sudahpun menjaringkan 22 gol setakat ini.

Guardiola merehatkan Phil Foden antara empat pertukaran daripada kesebelasan utama ketika menewaskan Everton hujung minggu lalu, dan kemenangan ini sekali gus menamatkan kemarau kemenangan City di tempat lawan dalam saingan Eropah yang berlarutan hampir setahun.

“(Haaland) memang menakjubkan… sukar untuk mengekangnya. Dia seorang yang rajin dan sentiasa dahagakan gol.

“Kami rasa menguasai sebahagian besar perlawanan. Masih ada ruang untuk penambahbaikan beberapa ketika kami terlepas kawalan, tapi kami perlu lebih kritikal terhadap diri sendiri jika mahu menjuarai kejohanan ini,” kata pemain muda City, Rico Lewis.

Haaland hampir membuka jaringan awal apabila tandukannya hasil hantaran silang Silva tersasar sedikit, sebelum City mula menemui ruang di benteng Villarreal yang dipacu aksi bertenaga Savinho.

Lewis memainkan peranan penting dalam gol pertama apabila bijak memotong bola ke tengah untuk Haaland melepaskan rembatan deras dari jarak 5.5 meter pada minit ke-17.

Villarreal yang berada di tangga ketiga La Liga cuba bangkit mencipta peluang, namun City menambah jaringan kedua sebelum rehat bagi merencatkan semangat pasukan tuan rumah.

Pasukan kendalian Marcelino Garcia Toral itu hampir menjaringkan gol sagu hati di penghujung perlawanan apabila tandukan Renato Veiga terkena tiang selepas menewaskan Donnarumma.

Villarreal kini masih belum meraih sebarang kemenangan dalam saingan Eropah musim ini, dan hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan pertama.

“Saya lihat perkembangan yang baik kami bermain semakin baik dari hari ke hari dan itu satu petanda positif,” kata Guardiola yang memuji prestasi keseluruhan pasukannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top