sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei membina replika kecil berbentuk Kaabah itu menarik perhatian peminat badminton khususnya umat Islam.
Simbolik yang dilakukan oleh juara dunia 2025 itu juga sebagai ucapan untuk masyarakat beragama Islam yang menyambut bulan Ramadan.
“Selamat menyambut Ramadan dan semoga murah rezeki,” kata Ee Wei di TikTok miliknya.
Malah, kegigihan dan ketekunan pemain kelahiran Melaka itu menyusun satu per satu permainan lego itu juga berjaya menyentuh emosi peminatnya.
Rata-rata mereka memuji apa yang Ee Wei lakukan itu sambil ditemani kucing kesayangannya.
“Baby girl, kitorang yang muslim ni pun tak tergerak hati nak beli Kaabah tau comelnya mashaAllah tabarakallah,” kata Heythereivy.
“Terima kasih sebab beri ucapan Ee Wei. Sangat manis ucapan daripada awak. Ini adalah Kaabah,” kata Walni Nilwa.
“Sangat manis. Ingatkan buat rumah rupanya buat Kaabah. semoga satu hari nanti kite semua dapat sampai ke depan Kaabah untuk menziarahinya,” kata MadamePilot.
“Semoga Cik Toh (Ee Wei) menang Seluruh England dan juara dunia sekali lagi. Sudah pasti pingat emas Sukan Olimpik. Amin,” katanya Lanzenn.
Selain itu, ada juga beberapa peminat secara bergurau memberi nama Islam kepada Ee Wei atas apa yang dilakukan oleh pemain itu sendiri.
“MasyaAllah dia punya random beli Kaabah. Puteri Nur Eewei Solehah,” kata Mysarah.
“Nur Sofea Ee Wei cantik,” kata Ja.
“Ramai letak Nur depan nama Ee Wei. Nur maksudnya cahaya. Semoga murah rezeki, selalu diberi cahaya kemenangan,” kata Thatlia.
Video berdurasi 0.11 saat itu dikongsi di TikTok miliknya dan setakat jam 3.00 petang, video berkenaan berjaya meraih 292 ribu tontonan
© New Straits Times Press (M) Bhd




