Sentuhan Rose hidupkan kebangkitan Bournemouth

Sentuhan Rose hidupkan kebangkitan Bournemouth

London: Kebijaksanaan memanfaatkan kekuatan pemain di bangku simpanan menjadi kunci kebangkitan Bournemouth apabila bangkit menewaskan Sparta Prague 3-1 dalam aksi Liga Europa, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan sempurna dalam kempen sulung mereka di pentas Eropah.

Pengendali Bournemouth, Marco Rose menyifatkan kualiti pemain gantian sebagai kelebihan penting yang membantunya membuat keputusan tepat ketika pasukan berdepan kesukaran di Prague.

Kemenangan itu turut menyaksikan The Cherries mengumpul empat kemenangan daripada empat perlawanan Liga Europa, selain meneruskan rentak tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, perjalanan Bournemouth bukan mudah apabila Lewis Cook gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum Ebrima Singhateh meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-35.

Harapan Bournemouth untuk bangkit kembali terbuka apabila Sparta kehilangan Tobias Guddal yang dilayangkan kad merah, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan pelawat.

Rose memanfaatkan kelebihan itu apabila membuat beberapa pertukaran yang akhirnya mengubah rentak permainan, dengan Tyler Adams menyamakan kedudukan sebelum Evanilson dan Rayan melengkapkan kebangkitan menerusi dua jaringan pada penghujung perlawanan.

“Apabila mempunyai pemain berkualiti di bangku simpanan, ia membuatkan tugas sebagai jurulatih lebih mudah. Secara keseluruhan, semua pemain mempamerkan persembahan berpasukan yang baik.

“Kebangkitan di gelanggang lawan seperti ini satu petanda positif buat seluruh pasukan,” katanya kepada TNT Sports.

Rose turut mengakui Sparta memberikan tentangan sengit, terutama menerusi penguasaan bola, namun beliau mengingatkan pemain supaya tidak hilang keyakinan ketika ketinggalan.

Beliau berkata, Bournemouth perlu lebih klinikal dan meningkatkan tempo permainan untuk memastikan peluang yang terhidang dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Tujuh kemenangan berturut-turut itu juga menjadi rekod terbaik Bournemouth sejak 2014, namun Rose menegaskan anak buahnya tidak terlalu selesa dengan pencapaian berkenaan.

“Kami perlu terus berwaspada dan mengekalkan ketajaman. Semua pasukan mahu menewaskan kami dan jika mula berasa terlalu selesa, kami pasti berdepan masalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top