am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anak kepada Seniman Negara Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab mengakui terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat melihat buku muzik berjudul Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab diterbitkan.
Nasir Khan, 63, berkata Allahyarham mungkin tidak dapat menatap buku muzik itu secara fizikal, tetapi beliau mengetahui usaha yang dilakukan untuk menerbitkan naskhah berkenaan.
“Saya berasa sebak kerana arwah bapa tidak sempat melihat hasil karya yang menghimpunkan 300 lagu ciptaannya itu diterbitkan.
“Tapi saya bersyukur kerana dapat menunaikan permintaan terakhir arwah bapa untuk menerbitkan buku muzik ini seperti diimpikannya.
“Memang menjadi impian arwah bapa untuk menghasilkan buku muzik ini dengan niat untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku berkenaan, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Nasir Khan berkata, penerbitan buku berkenaan bukan sekadar mengabadikan warisan muzik bapanya untuk dijadikan bahan rujukan penting kepada generasi muda dalam memahami dan menghargai identiti lagu Melayu.
Menurutnya, secara tidak langsung, arwah bapanya mungkin akan memiliki ramai ‘anak murid’ baharu kerana buku itu mengandungi banyak ilmu yang boleh dimanfaatkan terutama oleh mereka yang berminat dalam bidang muzik.
“Mengikut perjanjian, buku ini akan diagihkan ke institusi pengajian tinggi yang mempunyai jurusan muzik, selain jabatan kerajaan seperti Perpustakaan Negara serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai bahan rujukan.
“Buku ini diterbitkan dalam dua jilid, masing-masing sebanyak 50 naskhah. Kami juga bercadang untuk menjualnya kepada orang ramai, mungkin dalam bentuk buku digital,” katanya.
Buku muzik setebal 570 halaman turut memuatkan nota lagu, kisah di sebalik karya ciptaan Allahyarham serta foto eksklusif sepanjang perjalanan seni legenda muzik tersohor itu.
Ia diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui agensi MyCreative Ventures.
Allahyarham Ahmad Nawab atau nama sebenar Ahmad Khan Nawab Khan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, di sini, pada 24 November tahun lalu.
Pemergian maestro muzik itu meninggalkan warisan seni yang tidak ternilai. Antara penyanyi hebat yang pernah menjadi ‘anak didik’ dan menerima sentuhan magis ciptaannya termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid, Ramlah Ram, Datuk Siti Fairuz dan Allahyarham Datuk Nassier Wahab.
Sepanjang lebih enam dekad berkarya, Allahyarham menggubah lebih 2,000 lagu sejak era 1950-an dan menghasilkan lebih 200 album termasuk untuk artis luar negara seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
© New Straits Times Press (M) Bhd




