‘Sentuhan Wira’ Filem Aksi Sukan Kebangsaan Diangkat Ke Layar Perak, Adaptasi Kemenangan Piala Thomas 1992

‘Sentuhan Wira’ Filem Aksi Sukan Kebangsaan Diangkat Ke Layar Perak, Adaptasi Kemenangan Piala Thomas 1992

Syarikat penerbitan tempatan, Victory Pictures, secara rasmi mengumumkan pelancaran projek filem aksi epik bertemakan semangat kebangsaan berjudul,  ‘Sentuhan Wira’ menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem yang diinspirasikan daripada kejayaan bersejarah skuad badminton lelaki negara dalam kejohanan Piala Thomas 1992, filem ini juga turut mendapat sentuhan oleh dua legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit yang juga dilantik sebagai penasihat rasmi filem.

Kedua-dua figura sukan tersebut akan terlibat dalam pembangunan skrip, penyelidikan teknikal serta memastikan kesahihan fakta sejarah dan semangat perjuangan era tersebut diterjemah dengan tepat dan menyentuh hati di layar perak.

Majlis menandatangani perjanjian turut disaksikan oleh wakil rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YB Datuk Gerald Hans Isaac, selain turut dihadiri beberapa bekas pemain skuad 1992 yang tampil memberikan sokongan penuh terhadap usaha mengangkat kisah bersejarah ini ke layar perak.

Rashid Sidek sifatkan filem ini lebih dari filem sukan

Menurut Wira Piala Thomas 1992 itu, Datuk Rashid Sidek, filem ini bukan sejadar filem biasa tetapi perjuangan dan kebanggaan rakyat Malaysia.

Oleh itu, beliau mahu generasi muda hari ini merasai sendiri pengalaman dan momen bersejarah itu menerusi ‘Sentuhan Wira’.

“Ini bukan sekadar filem badminton, tetapi naskhah sinematik tentang perjuangan, kepercayaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. Kami ingin generasi muda hari ini merasai getaran semangat yang sama dan meneruskannya,”katanya.

Filem ini juga bakal diarahkan oleh Lenny Ooi, pengarah berbakat yang menjanjikan pendekatan visual penuh aksi dan realisme.

Dengan penggunaan kamera kadar bingkai tinggi (high frame rate), sinematografi bergaya, dan penyuntingan padat, babak-babak perlawanan dijangka akan tampil lebih mendebarkan dan dramatik.

Sesi uji bakat terbuka dilakukan

Menambah kelainan, pihak Victory Pictures, Lenny Oii turut mengumumkan sesi uji bakat terbuka di seluruh negara bagi mencari bakat baharu yang mampu menghidupkan watak-watak penting dalam filem ini.

Walaupun watak utama akan dilakonkan oleh pelakon popular tanah air, pasukan produksi ingin memberi peluang kepada generasi muda yang bukan sahaja berbakat dalam lakonan, tetapi juga mempunyai kemahiran badminton yang mantap.

“Kami mencari calon yang bukan hanya berbakat, tetapi juga memiliki nilai-nilai seperti disiplin, semangat berpasukan, keberanian, dan cinta kepada negara itulah roh skuad 1992 yang ingin kami bawa ke layar,” jelasnya

Scroll to Top