Senyum di pam minyak, mengeluh di pasar raya

Senyum di pam minyak, mengeluh di pasar raya

Apabila berita mengenai gencatan senjata antara blok Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran mula tersebar, dunia seolah-olah berhenti bernafas seketika.

Perasaan berbelah bahagi antara gembira dan cemas. Gembira kerana akhirnya letupan yang mengorbankan orang awam akhirnya dihentikan, namun cemas memikirkan kedegilan pihak yang satu itu.

Bukan sesuatu yang asing membaca mengenai kedegilan Israel yang diketuai perdana menterinya, Benjamin Netanyahu.

Apa yang berlaku di Gaza sudah cukup untuk memahami betapa sebarang perjanjian dibuat boleh dikhianati pada bila-bila masa.

Tidak sampai 24 jam pengumuman gencatan senjata itu dibuat, Israel membuktikan kedegilannya dengan menyerang sekutu Iran di Lubnan yang mengorbankan lebih 100 orang awam dan mencederakan lebih 800 yang lain.

Israel memberi alasan Lubnan tidak termasuk dalam syarat gencatan senjata itu.

Dalam keadaan perjanjian gencatan senjata yang rapuh ini, ia memberi bayangan kestabilan geopolitik masih belum dicapai yang secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa harga minyak dunia juga belum boleh kembali ke paras sebelum peperangan bermula.

Malaysia antara negara yang terkena tempias. Di Putrajaya, pengumuman gencatan senjata ini bukan sekadar nota diplomatik, tetapi merupakan ‘talian hayat’ fiskal yang amat diperlukan.

Bagi Malaysia, konflik yang meletus sejak Februari lalu telah mencipta sebuah keadaan ekonomi yang unik di mana kita sedang memenangi perang harga minyak melalui Petronas, namun dalam masa sama wujud kebimbangan terhadap ‘perang’ harga makanan di meja makan rakyat.

Selama beberapa dekad, naratif ekonomi Malaysia sentiasa konsisten iaitu apabila harga minyak mentah dunia naik, Malaysia meraih untung.

Dengan harga Brent yang mencecah AS$110 setong akibat ketegangan di Selat Hormuz, Petronas secara teknikalnya berada dalam kedudukan paling menguntungkan dalam sedekad.

Pada pengumuman prestasi kewangan bagi tahun 2025, Februari lalu, PETRONAS meluluskan pembayaran dividen kepada kerajaan sebanyak RM20 bilion bagi 2026, selari dengan keupayaan kewangan kumpulan itu serta komitmennya untuk terus melabur bagi menjamin keselamatan tenaga negara dan pertumbuhan jangka panjang.

Bagi tahun 2025, syarikat minyak dan gas nasional itu sudah meluluskan untuk membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion.

Namun, pengumuman ini dibuat sebelum tercetusnya peperangan yang menyebabkan gangguan di Selat Hormuz.

Dengan keadaan semasa, segalanya boleh berubah. Keuntungan ini mungkin hanya bersifat ‘persinggahan’. Wang yang masuk melalui tangan kanan Petronas, keluar hampir serta-merta melalui tangan kiri untuk membayar bil subsidi bahan api yang melambung.

Dalam ekonomi 2026, keuntungan luar jangka ini tidak lagi digunakan untuk membina infrastruktur masa depan, sebaliknya ia menjadi ‘hamba’ kepada harga petrol di pam.

Pada harga minyak global AS$110, kos sebenar seliter RON95 di Malaysia sepatutnya mencecah RM4.15 hingga RM4.25. Dengan mengekalkan harga siling pada RM2.05, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM2.10 hingga RM2.20 bagi setiap liter.

Berdasarkan laporan, bil subsidi yang ditanggung kerajaan ketika ini, dianggarkan mencecah RM3.2 bilion setiap bulan.

Gencatan senjata ini, yang membawa sedikit kestabilan kepada harga minyak, dijangka menjimatkan perbendaharaan sekitar RM1 bilion dalam tempoh dua minggu.

Namun, sementara subsidi petrol berjaya ‘mengunci’ harga minyak, ia sama sekali tidak mampu melindungi rakyat daripada kejatuhan nilai ringgit.

Konflik Asia Barat telah mencetuskan fenomena ‘flight to safety’, di mana pelabur melarikan modal ke arah dolar AS, menyebabkan ringgit menyusut nilai.

Penjimatan subsidi petrol daripada gencatan senjata mungkin sekitar RM1 bilion sebulan, tetapi peningkatan kos import makanan akibat ringgit yang lemah juga mencecah lebih RM600 juta sebulan.

Hampir dua pertiga daripada penjimatan petrol ‘hangus’ begitu saja untuk membayar kenaikan harga bawang, daging, dan gandum di pasaran global.

Rakyat mungkin tersenyum di pam minyak, tetapi mereka mengeluh di kaunter pembayaran pasar raya.

Selain itu, kos pertanian juga terus meningkat. Walaupun lori penghantaran sayur menggunakan diesel bersubsidi, baja kimia dan dedak ayam yang digunakan di ladang tidak mempunyai perlindungan yang sama.

Gas asli adalah bahan mentah utama urea (baja). Konflik di Asia Barat menyebabkan harga gas asli melonjak, yang secara langsung menaikkan harga baja di pasaran dunia.

Petani di Cameron Highlands atau penternak ayam di Johor terpaksa menanggung kos input yang melambung dalam denominasi dolar AS yang mahal.

Walaupun kos logistik tempatan ditampung dengan subsidi, kos pengeluaran di peringkat akar umbi tetap naik. Inilah puncanya mengapa harga barang dapur tetap naik mendadak walaupun harga petrol tidak berubah setitik pun.

Secara ringkas, gencatan senjata 14 hari ini hanyalah sebuah jeda strategik. Ia adalah kemenangan kecil untuk kemanusiaan, tetapi amaran besar untuk ekonomi Malaysia.

Bagi Malaysia, ia adalah jendela peluang untuk melakukan reformasi yang berani dan kita tidak boleh terus menggunakan Petronas sebagai ‘akaun simpanan’.

Tanpa keamanan yang kekal di Asia Barat dan tanpa reformasi struktur di Malaysia, kita tidak mahu keadaan ini berlaku di mana tangki minyak kereta boleh dipenuhkan, namun ada perut yang terpaksa diikat akibat harga makanan yang mahal.

Gencatan senjata ini adalah nafas tambahan, tetapi ia bukan penawar. Masa untuk Malaysia berubah adalah sekarang, sebelum api di Asia Barat kembali menyala dan menghanguskan sisa kewangan yang ada.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top