anbia@hmetro.com.,my
Kuala Lumpur: Dahulunya kanak-kanak perempuan ini memiliki tubuh fizikal yang sihat dan normal. Wajah comel Rahaf Ayad, 12, kerap terukir senyuman ceria.
Namun kepungan berterusan tentera Israel dan halangan terhadap bantuan kemanusiaan sejak hampir 3 mac lalu, menyebabkan tubuh Rahaf kini kurus kering kelaparan hingga menampakkan tulang selangka dan dada.
Wajah sugulnya semakin cengkung dan tidak bermaya. Meruntun perasaan bagi sesiapa yang melihatnya.
Kanak-kanak malang Palestin yang tinggal di Al-Shujaia, Gaza ini, adalah antara hampir 800,000 kanak-kanak berusia 14 tahun yang kini dihambat krisis kebuluran apabila beratus kontena makanan bantuan gagal memasuki Tebing Gaza.
Amat menyedihkan apabila kanak-kanak masih kecil ini mengalami kekurangan zat makanan dan berdepan penyakit yang sukar didiagnosis. Ternyata keadaan dialami kanak-kanak di Gaza adalah malapetaka sukar dibayangkan.
Keadaan Rahaf kian meruntun jiwa apabila rambutnya gugur dan kesihatan tubuhnya kian merosot.
Keluarganya merayu bantuan masyarakat antarabangsa supaya Rahaf dipindahkan ke hospital di luar Gaza untuk menerima rawatan kecemasan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 60,000 kanak-kanak di Tebing Gaza berisiko mengalami komplikasi kesihatan yang teruk akibat kekurangan zat makanan.
Tiada bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza bagi menyelamatkan nyawa 2.3 juta penduduk Palestin yang terkepung.
Israel mengekalkan penutupan keseluruhan lintasan sempadan utama, menyekat kemasukan makanan, bekalan perubatan dan bahan api sejak 2 Mac lalu.
Sementara itu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan kanak-kanak di Gaza berdepan risiko kebuluran, penyakit dan kematian yang semakin meningkat apabila Israel menghalang penghantaran makanan dan bantuan lain.
Menurutnya, sehingga Jumaat lalu lebih 9,000 kanak-kanak Gaza dikesan mengalami kekurangan zat makanan akut.
Tindakan genosid yang berlarutan sejak 19 bulan lalu menyebabkan kebanyakan penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan.
Orang awam di Gaza berdepan perjuangan harian yang amat perit untuk terus hidup dalam bahaya pertempuran, perpindahan berterusan, serta kesan akibat kekurangan bantuan kemanusiaan yang mendesak.
Malah hospital medan yang dikendalikannya di Gaza kini semakin kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan, malah beberapa jenis ubat turut kehabisan.
Keadaan kritikal itu bertambah buruk akibat serangan berulang yang menjejaskan operasi kemudahan dan petugas kesihatan.
Tanpa tindakan segera, Gaza akan terus terjerumus ke dalam keadaan huru-hara yang tidak lagi dapat ditangani oleh usaha kemanusiaan.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza yang telah mengorbankan atau mencederakan lebih 170,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Lebih 11,000 lagi dilaporkan hilang, manakala pengeboman berterusan turut memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di wilayah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




