am@hmetro.com.my
Georgetown: “Kami masih berharap dia kembali senyum walaupun doktor mengesahkan anak saya sudah tiada harapan untuk pulih.
“Jika sudah sampai masa dia kembali kepada-Nya, saya reda dan bersedia. Tetapi jika masih ada harapan, mohon semua doakan supaya dikurangi kesakitannya.”
Begitu harapan Mohd Shahrul Naim Mohd Shaari yang meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan anaknya, Muhammad Harras Naufal Mohd Shahrul Naim, 10, pengidap kanser tulang dan juga kanak-kanak autisme.
Malah, doktor mengesahkan anak kedua daripada tiga beradik itu kini berstatus paliatif apabila sudah tiada rawatan boleh dilakukan dan hanya berharap kepada keajaiban.
Mohd Shahrul Naim yang tinggal di Merbok, Kedah berkata, walaupun begitu, dia tetap membawa anaknya menghadiri temujanji bersama doktor pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dijadualkan setiap dua minggu sekali.
Katanya, Muhammad Harras Naufal sebelum ini adalah kanak-kanak riang dan bertenaga, selain menjadi ‘penyeri’ buat kakak dan adik lelaki yang masing-masing berusia 12 dan lapan tahun.
“Kebelakangan ini dia tidak mahu makan atau bercakap dan hanya minum susu yang disalurkan menerusi tiub dipasangkan menerusi hidung.
“Kini doktor mengesahkan buah pinggang Muhammad Harras Naufal mengalami kebocoran dan terpaksa dipasangkan tiub bagi memudahkan dia membuang air kecil,” katanya ketika ditemui di HPP, di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Shahrul Naim berkata, anaknya disahkan mengidap kanser pada 2021 yang ketika itu sudah berada di tahap empat selepas kerap mengalami demam.
Katanya, di akhir rawatannya pada 2023 selepas menjalani sebanyak enam sesi kemoterapi, Muhammad Harras Naufal disahkan bebas kanser namun ia kembali menyerang.
“Dia terpaksa menjalani beberapa kali lagi sesi rawatan namun imbasan menunjukkan terdapat ketumbuhan baharu.
“Sebak apabila kakak dan adiknya sering bertanya mengenai kesembuhan Muhammad Harras Naufal supaya dapat bermain-main dan meluangkan masa bersama seperti dulu.
“Malah kakaknya pernah suarakan kerisauan tentang Muhammad Harras Naufal yang sudah lama tidak ke sekolah dan bimbang ketinggalan dalam pelajaran,” katanya yang juga anggota polis.
Menurut Mohd Shahrul Naim, dia dan isteri Umaisarah Hassan Salleh,39, sudah kering air mata dan reda dengan ketentuan-Nya.
“Hospital sudah menjadi rumah keduanya. Pada masa ini, kami bersepakat mahu menggembirakan Muhammad Harras Naufal selagi termampu dan tunaikan semua kehendaknya.
“Kami juga ucapkan terima kasih kepada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) yang memberi sokongan, maklumat serta menceriakan kanak-kanak pejuang kanser termasuk Muhammad Harras Naufal,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Umaisarah Hassan Salleh bernombor 152189386881.
© New Straits Times Press (M) Bhd
