am@hmetro.com.my
Bera: “Seolah mati hidup semula.” Gambaran itu diberikan Pengawas Hutan Mohamad Syariman Mohammed Simin selepas terperangkap di Hutan Simpan Chini Bera bersama tiga rakan sekerja dan seorang pekerja kontrak akibat kepala air, Jumaat lalu.
Kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera itu terpaksa berenang mengharung arus dan memanjat pokok yang paling tinggi dan kukuh untuk menyelamatkan diri.
Mohamad Syariman, 45, berkata, mereka terpaksa bertahan lebih tujuh jam di atas pokok sebelum air surut dan berkumpul untuk mengambil apa-apa barang yang masih dapat diselamatkan sehingga bantuan tiba, semalam.
“Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan kami ketika itu, seolah mati hidup semula. Kami baru selesai operasi dan berkhemah berhampiran Sungai Bera, dengan tapak itu sudah digunakan lebih 10 tahun kerana di kawasan tinggi dan selamat.
“Tidak disangka apabila berlaku kepala air kira-kira 11.30 malam dan ketika kami cuba memandu keluar dari tapak perkhemahan itu, arus kuat dan cuba menghanyutkan kenderaan.
“Saya dan rakan-rakan segera tinggalkan kenderaan yang hampir tenggelam dan berenang menyelamatkan diri, dengan berbekalkan cahaya lampu kepala.
“Kami berpecah kepada dua kumpulan dan dalam cemas itu, kami terpaksa memanjat pokok bagi mengelak hanyut. Paras air dianggar lebih 10 meter ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ceritanya lagi, selepas air surut, mereka cuba mencari jalan untuk menghubungi pejabat bagi memaklumkan kejadian, namun semua telefon bimbit gagal dihidupkan akibat terendam dalam air lebih 10 jam.
Ketika itu, katanya, mereka hanya berserah kepada Allah SWT dan berdoa semoga semuanya dipermudahkan.
“Kemudian seperti berlaku keajaiban apabila telefon saya dapat dihidupkan untuk seketika dan sempat menghubungi rakan untuk bantuan, sebelum ia mati semula,” katanya yang lebih 22 tahun berkhidmat dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) semua mangsa yang digerakkan sejurus laporan, tamat pada 4 petang semalam selepas kelima-lima mereka ditemukan selamat.
Rakannya, Pengawas Hutan Aliff Abeng, 36, berkata, tidak akan melupakan pengalaman berdepan kejadian itu sampai bila-bila.
“Sebelum ini hanya baca di media, kisah orang berdepan kepala air, kali ini diri sendiri alami hingga hampir meragut nyawa. Jadi tak mungkin saya lupakan,” katanya yang berasal dari penempatan Orang Asli Pos Iskandar, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




