am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Polis menahan seorang lagi pemandu lori yang meloloskan diri selepas diarahkan berhenti untuk pemeriksaan ketika Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan yang diadakan di sekitar Plaza Tol Jawi, di sini, pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata terdahulu pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang hampir merempuh anggota polis, melanggar palang tol dan lampu isyarat apabila enggan memberi kerjasama.
Menurutnya, susulan daripada tangkapan itu dan hasil risikan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun di Padang Serai, Kedah semalam.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Polis ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara berbahaya sehingga mengancam keselamatan orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.
Media awal pagi tadi melaporkan seorang pemandu lori ditahan polis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu dalam Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan yang diadakan sekitar kawasan Plaza Tol Jawi, pada malam Sabtu.
Dalam operasi jam 11.30 malam itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan mengesan dua lori tipper yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun, kedua-dua pemandu lori berkenaan tidak mengendahkan arahan polis ketika diminta berhenti bagi tujuan pemeriksaan sebaliknya memecut laju kenderaan dipandu mereka secara berbahaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd