Seorang lagi pendaki maut di Everest

Seorang lagi pendaki maut di Everest

Kathmandu: Seorang pendaki warga Australia meninggal dunia di Everest, kata penganjur ekspedisinya hari ini, menjadikan jumlah kematian ke-10 di puncak tertinggi dunia itu pada musim pendakian kali ini.

Jason Bernard Kennison, 40, yang dilaporkan terselamat dalam nahas kereta pada 2006, dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sihat pada hari Jumaat, kata Asian Trekking.

Selepas menjadi ‘tidak responsif’ pada pendakian itu, Kennison dibawa turun ke kawasan balkoni di bawah puncak, Ketua Asian Trekking, Dawa Steven Sherpa memberitahu AFP.

“Memandangkan silinder oksigen yang mereka bawa kehabisan, mereka memutuskan untuk turun ke Kem 4 dengan harapan dapat naik semula dengan silinder oksigen untuk menyelamatkannya,” kata Sherpa.

“Angin kencang dan cuaca buruk menghalang mereka untuk membawanya pulang. Dia meninggal dunia di kawasan balkoni.

Kematian Kennison adalah yang keenam dalam kalangan bukan warga Nepal, manakala empat Sherpa kehilangan nyawa mereka di Everest pada musim pendakian tahun ini.

Secara purata, lima pendaki meninggal dunia setiap musim pendakian di Everest.

Bagaimanapun, pada 2019 seramai 11 orang maut dengan empat daripada kematian dipercayai akibat kesesakan di atas gunung itu.

Menurut laporan media Australia, Kennison menghabiskan masa bertahun-tahun untuk belajar berjalan semula selepas kemalangan jalan raya itu menyebabkan dia mengalami pelbagai kecederaan termasuk saraf tunjangnya.

Hampir 450 pendaki sudah mendaki Gunung Everest musim ini, menurut jabatan pelancongan Nepal.

Pihak berkuasa mengeluarkan 478 permit kepada pendaki asing tahun ini, dengan masing-masing membayar yuran AS$11,000.

Rakyat Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, yang berketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Seorang lagi pendaki, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dilaporkan hilang dipercayai ketika menuju kem tiga, selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest.

© New Straits Times Press (M) Bhd