am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang maut manakala dua mengalami kecederaan parah apabila salah sebuah daripada tiga motosikal melanggar sesama mereka di Kilometer (Km) 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT), dekat Kuala Terengganu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kira-kira jam 8.45 pagi tadi pihaknya menerima makluman berkenaan kemalangan maut melibatkan 3 buah jenis Yamaha RXZ.
Menurutnya, Ketiga-tiga buah motosikal terbabit dari arah Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.
Katanya, siasatan awal mendapati semasa motosikal yang ditunggang lelaki berusia 29 tahun sedang bergerak terus di lorong kecemasan, tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh motosikal yang ditunggang oleh Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang maut dalam kejadian itu.
“Motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal, kemudian mengelungsur ke hadapan dan merempuh motosikal yang ditunggang lelaki berusia 26 tahun.
“Akibat kemalangan tersebut, ketiga-tiga motosikal terjatuh dan terseret di atas jalan dan kemudian motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal, tercampak ke dalam longkang konkrit,” katanya.
Menurutnya, mangsa Mohamad Faizal, yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, dua lagi penunggang motosikal mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kedua-dua mangsa yang dikejarkan ke HSNZ mengalami kecederaan parah di kepala.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke unit forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan Kes disiasat dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987
Azli berkata, pihaknya difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri program RXZ Fighter, di Kuantan, Pahang.
© New Straits Times Press (M) Bhd