LENGGONG: Seorang wanita maut manakala empat yang lain cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 32.4, Jalan Kuala Kangsar-Gerik di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Damia Aziati Ruslan berusia 34 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang Perodua Bezza.
Difahamkan, kenderaan dipandu adik lelaki mangsa berusia 25 tahun hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar penghadang besi bahu jalan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan membabitkan kereta dinaiki lima individu itu diterima pada pukul 3.56 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang terbabas sendiri. Insiden tersebut membabitkan lima mangsa terdiri daripada tiga wanita dewasa, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Seorang daripada wanita dewasa itu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala mangsa lain cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketua operasi menjalankan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN



