Seorang maut, lima cedera nahas dua kereta di JRTB

Seorang maut, lima cedera nahas dua kereta di JRTB

GERIK: Seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa menghala ke Jeli, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada pukul 11.24 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Ativa yang dinaiki empat individu dan sebuah kereta Kia Forte dinaiki dua mangsa.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kereta Perodua Ativa telah terbabas lalu terbalik ke dalam longkang manakala kereta Kia Forte pula terbabas ke bahu jalan.

“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki yang menaiki Perodua Ativa meninggal dunia manakala lima individu yang menaiki dua kenderaan cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketua operasi mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Perodua Ativa yang terbalik.

Katanya, kesemua lima orang mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jeli dengan menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 1.48 petang,” katanya.

Tambah beliau, operasi menyelamat disertai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan Jeli. – UTUSAN

 

Scroll to Top