Seorang patah kaki, 6 selamat dalam kejadian kepala air

Seorang patah kaki, 6 selamat dalam kejadian kepala air

rnoraina@hmetro.com.my

Gombak: Seorang lelaki patah kaki, manakala enam lagi selamat dalam kejadian kepala air di Jalan Gombak Lama, Batu 12 di sini, petang tadi.

Difahamkan, kesemua mangsa iaitu empat lelaki dan tiga perempuan berusia 15 hingga 31 tahun itu sedang beriadah di kawasan berkenaan apabila berlaku kepala air yang menyebabkan empat daripada mereka dihanyutkan arus dan tiga terperangkap.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.45 petang.

Katanya, sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Selayang membabitkan kekuatan enam pegawai serta anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati empat mangsa dihanyutkan arus kepala air dan diselamatkan oleh orang awam di kawasan tebing sungai.

“Manakala tiga mangsa yang terkandas diselamatkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan patah kaki dan enam lagi tidak cedera.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat, sebelum operasi ditamatkan tidak lama kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top