Zurich: Sepanyol kembali merampas kedudukan nombor satu ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) buat kali pertama sejak 2014 apabila senarai terbaharu dikeluarkan, semalam.
Lebih 200 perlawanan antarabangsa berlangsung sejak kemas kini terakhir, menyaksikan perubahan ketara dalam kelompok 50 terbaik.
Juara Piala Dunia, Argentina jatuh ke tangga ketiga selepas tewas 0-1 kepada Ecuador dalam aksi kelayakan Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), 8 September lalu, dengan Perancis naik satu anak tangga ke kedudukan kedua.
Argentina yang berada di ranking teratas sejak April 2023 sebelum itu menewaskan Venezuela 3-0 pada 3 September, manakala Perancis pula meraih dua kemenangan bersih sepanjang tempoh berkenaan.
Kejutan terbesar membabitkan Jerman yang jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-12 selepas tewas 0-2 kepada Slovakia dalam kelayakan Euro, sekali gus menyingkirkan mereka daripada kelompok 10 terbaik buat kali pertama sejak Oktober 2024.
Slovakia pula melonjak 10 anak tangga untuk kembali ke kelompok 50 di kedudukan ke-42.
© New Straits Times Press (M) Bhd




