
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez. Foto Agensi
MADRID – Kerajaan Sepanyol memutuskan untuk menarik balik dutanya ke Israel sebagai tanda bantahan terhadap konflik Iran serta perang berterusan di Gaza yang dikritik Madrid sebagai tindakan genosid.
Menurut warta rasmi kerajaan Sepanyol, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Menteri pada 10 Mac lalu yang bersetuju menamatkan pelantikan Ana María Sálomon Pérez sebagai Duta Sepanyol ke Israel.
Langkah tersebut diumumkan pada Rabu dan dilihat sebagai tindakan diplomatik tegas Madrid, yang sejak awal menjadi antara pengkritik utama dalam Kesatuan Eropah (EU) terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza serta operasi ketenteraan baharu Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Menurut Kementerian Luar Sepanyol, operasi kedutaan negara itu di Tel Aviv akan diteruskan seperti biasa, namun kini diketuai oleh seorang pentadbir kerajaan.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, sebelum ini secara terbuka mengecam serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang disifatkannya sebagai tindakan ‘tidak boleh dibenarkan’.
Beliau turut menegaskan pendirian Madrid yang jelas menolak sebarang konflik dengan menyatakan Sepanyol mengambil sikap ‘tidak kepada perang’.
Kerajaan pimpinan Sánchez juga merupakan antara segelintir negara Eropah yang secara konsisten mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Pada Oktober tahun lalu, Parlimen Sepanyol meluluskan undang-undang yang menguatkuasakan embargo senjata sepenuhnya terhadap Israel, sekali gus melarang penjualan senjata, teknologi dwiguna serta peralatan ketenteraan kepada negara itu sebagai respons terhadap konflik di wilayah Palestin.
Langkah diplomatik terbaharu ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan hubungan antara Madrid dan Tel Aviv ketika konflik di Asia Barat terus memuncak melibatkan Gaza, Iran serta penglibatan Amerika Syarikat dan sekutunya.-Agensi



