mahaizura@mediaprima.com.my
Kemandulan lelaki semakin banyak dibincangkan dan meraih perhatian terutama apabila pasangan belum dikurniakan zuriat walaupun sudah bertahun-tahun berikhtiar.
Ramai masih menganggap masalah kesuburan berpunca daripada wanita sedangkan kajian menunjukkan hampir separuh kes membabitkan faktor lelaki.
Pakar Urologi, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Johor Dr Rishithra Rao Krishnamurthy berkata, kemandulan lelaki berlaku apabila penghasilan sperma terganggu, kualiti sperma rendah serta sperma tidak dapat disalurkan dengan baik.
“Antara punca kemandulan ialah kiraan sperma rendah yang dihasilkan tidak mencukupi untuk menyuburkan ovum. Faktor penyebab termasuk masalah hormon, jangkitan, pendedahan kimia dan gaya hidup tidak sihat.
“Pemeriksaan hormon dan analisis air mani penting untuk mencari punca sebenar, namun dalam sesetengah kes, rawatan seperti ubat kesuburan atau terapi hormon boleh membantu merangsang penghasilan sperma selain gaya hidup sihat seperti tidur cukup, pemakanan seimbang dan senaman berkala juga penting.
“Jika penghasilan sperma masih tidak mencukupi, rawatan seperti IVF (persenyawaan in-vitro) atau ICSI (intra-cytoplasmic sperm injection) boleh menjadi pilihan,” katanya.
Selain kuantiti, Dr Rishithra Rao berkata, kualiti sperma juga menentukan peluang kehamilan.
“Sperma yang bergerak perlahan (motiliti rendah) atau berbentuk tidak normal (morfologi abnormal) sukar menembusi ovum, sekali gus menurunkan peluang persenyawaan.
“Pemakanan kaya antioksidan seperti vitamin C, E, zink dan selenium sangat membantu memperbaiki kualiti sperma selain perlu mengurangkan alkohol dan berhenti merokok kerana bahan toksik boleh merosakkan DNA sperma,” katanya.
Menurut Dr Rishithra Rao, satu lagi punca biasa ialah varikokel iaitu salur darah bengkak dalam skrotum yang menyebabkan suhu testis meningkat sekali gus mengganggu penghasilan sperma.
“Masalah ini sangat biasa dan boleh menjejaskan sehingga 15 peratus lelaki dewasa.
“Rawatan paling berkesan ialah pembedahan kecil dipanggil ‘varicocelectomy’. Prosedur ini membantu memperbaiki aliran darah dan menurunkan suhu di kawasan testis, sekali gus meningkatkan penghasilan sperma secara semula jadi selepas beberapa bulan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, ketidakseimbangan hormon seperti testosteron rendah atau gangguan pada kelenjar pituitari boleh menjejaskan proses penghasilan sperma.
“Hormon yang tidak seimbang boleh berlaku akibat tekanan, ubat-ubatan tertentu atau penyakit kronik.
“Ujian darah akan dijalankan untuk menilai paras hormon. Sekiranya hormon testosteron rendah, doktor mungkin mencadangkan terapi hormon atau rawatan penggantian testosteron di bawah pemantauan pakar.
“Rawatan ini biasanya disesuaikan mengikut tahap dan punca sebenar masalah,” katanya.
Dr Rishithra Rao berkata, ada juga kes lelaki berdepan masalah seperti ‘retrograde ejaculation’ (air mani masuk ke dalam pundi kencing) atau mati pucuk boleh menghalang sperma daripada disalurkan ke luar.
“Faktor penyebab termasuk gangguan saraf, ubat atau penyakit seperti diabetes.
“Rawatan bergantung pada punca. Sesetengah kes dapat dirawat dengan ubat-ubatan atau terapi ereksi.
“Sekiranya sperma tidak dapat keluar, doktor boleh mengambil sperma terus dari testis untuk digunakan dalam rawatan IVF atau ICSI,” katanya.
Bagi sesetengah lelaki, Dr Rishithra Rao berkata, masalah ini bermula daripada genetik seperti sindrom ‘Klinefelter’ atau gangguan kromosom Y yang menyebabkan testis tidak berfungsi dengan baik.
“Pemeriksaan genetik penting untuk mengenal pasti punca sebenar.
“Dalam sesetengah kes, sperma boleh diambil terus daripada testis menggunakan teknik ‘microsurgical testicular sperm extraction’ (mTESE).
“Kaunseling genetik juga disyorkan bagi membantu pasangan memahami risiko dan pilihan rawatan yang ada,” katanya.
Menurutnya, sumbatan pada saluran ‘vas deferens’ juga boleh berlaku, menyebabkan sperma tidak bercampur dengan air mani walaupun testis menghasilkan sperma yang normal.
“Sumbatan boleh terjadi akibat jangkitan, pembedahan atau kecacatan sejak lahir.
“Pembedahan mikro boleh membuka saluran tersumbat. Jika tidak berjaya, sperma boleh diambil dari testis untuk digunakan dalam rawatan persenyawaan berbantu,” katanya.
Beliau berkata, jangkitan seperti beguk, penyakit kelamin dan radang prostat juga boleh merosakkan tisu testis.
“Rawatan antibiotik atau anti-viral boleh membantu menghapuskan jangkitan. Pemeriksaan awal sangat penting bagi mengelakkan kerosakan kekal.
“Lelaki yang pernah mengalami beguk atau penyakit kelamin disarankan menjalani pemeriksaan kesuburan lebih awal jika bercadang mendapatkan anak,” katanya.
Dr Rishithra Rao berkata, pendedahan persekitaran atau kepada radiasi, racun perosak, bahan kimia industri atau haba tinggi (seperti penggunaan sauna atau komputer riba di pangkuan) serta rawatan perubatan tertentu juga boleh merosakkan sperma.
“Selain itu, rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi juga boleh menjejaskan kesuburan lelaki.
“Justeru, elakkan pendedahan berlebihan kepada bahan toksik dan haba.
“Bagi pesakit barah yang akan menjalani rawatan, disarankan berbincang dengan doktor tentang pembekuan sperma sebelum memulakan terapi bagi membolehkan peluang memiliki zuriat selepas rawatan selesai,” katanya.
Dr Rishithra Rao berkata, kemandulan lelaki bukanlah pengakhiran kerana pemeriksaan awal, rawatan tepat dan perubahan gaya hidup sihat boleh meningkatkan peluang cerah untuk memiliki anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




