am@hmetro.com.my
Kuala Krai: “Esok adalah hari bahagia saya, namun luluhnya hati apabila tiga ahli keluarga saya terbabit dalam kemalangan dan pergi buat selama-lamanya,” kata Muhd Syafiq Abdul Rahim, 24.
Muhd Syafiq adalah adik kepada Nurul Ain Abdul Rahim, 39, yang maut dalam kemalangan bersama anak tunggal, Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18 serta menantunya, Mohamad Faris Kamaludin, 24, selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam, hari ini.
Muhd Syafiq berkata, lebih memilukan lagi apabila ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikahnya di Besut yang sepatutnya berlangsung jam 2.30 petang esok.
“Majlis akad nikah esok mungkin akan ditangguh, namun bergantung kepada keputusan keluarga sebelah pengantin perempuan dan berharap urusan kami dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, di sini, hari ini.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan kakaknya jam 10.30 pagi dan diberitahu mereka baharu sahaja melalui kawasan Chiku di daerah Gua Musang.
“Tidak beberapa lama selepas itu, saya terbaca satu hantaran berita mengenai kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa dan pada waktu itu sudah berasa tidak sedap hati.
“Sewaktu melihat gambar kemalangan itu, saya amat yakin itu kereta dinaiki oleh kakak sekeluarga berdasarkan warna kereta sehinggalah mendapat maklumat sahih mangsa adalah kakak bersama anak serta menantunya,” katanya.
Katanya, kakaknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor Bharu bertolak ke Kelantan pada jam 1 pagi tadi.
“Saya pernah berpesan kepada kakak supaya menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Bagaimanapun, ketika menghubungi kakak, saya terkejut apabila diberitahu mereka menggunakan Waze dan melalui Jalan Gua Musang-Kota Bharu sedangkan itu adalah pertama kali mereka menggunakan laluan berkenaan,” katanya.
Muhd Syafiq berkata, lebih memilukan, kepulangan kakaknya turut membawa bersama hantaran yang sudah digubah oleh Nur Atikah Najihah untuk majlis perkahwinannya.
“Beberapa hari sebelum itu, saya sudah berasa tidak sedap hati, namun tidak menyangka ia adalah petanda saya akan kehilangan ahli keluarga.
“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku, dan jenazah akan dikebumikan di Kampung Kayu Rendang, Melor selepas selesai urusan bedah siasat,” katanya.
Media hari ini melaporkan, dua wanita dan seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi tersepit manakala pemandu bas mengalami kecederaan ringan.
Berita berkaitan:
3 maut bas ekspres bertembung dengan Myvi
© New Straits Times Press (M) Bhd