New York: Tindakan beramai-ramai 77 delegasi meninggalkan dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejurus sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapan mencetuskan reaksi meluas di media sosial, lapor Middle East Monitor.
Pengguna media sosial menyifatkan, kejadian itu sebagai tamparan hebat kepada Israel dan tanda negara itu semakin terasing di peringkat antarabangsa.
Rakaman menunjukkan, kebanyakan delegasi meninggalkan dewan sebelum Netanyahu mula berucap, manakala perdana menteri itu kelihatan tidak selesa apabila hanya sebilangan kecil orang kekal berada di dalam dewan dan penunjuk perasaan melaungkan slogan.
Menurut laporan media Israel, wakil daripada 77 negara tidak berada di dalam dewan ketika Netanyahu menyampaikan ucapannya.
Difahamkan, beberapa delegasi meninggalkan dewan sejurus sebelum ucapan itu bermula, manakala wakil beberapa negara lain tidak berada di tempat duduk masing-masing sejak awal.
Tindakan meninggalkan dewan itu mendapat perhatian besar dalam media Israel, dengan Channel 14 menyifatkannya sebagai ‘satu ludahan ke muka Israel’, manakala akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, menyifatkannya sebagai ‘protes dramatik’.
Sementara itu, satu lagi akhbar Israel, Haaretz menyifatkan, ucapan Netanyahu sebagai berulang-ulang dan membosankan dengan mengatakan ia sebahagian besarnya ditujukan kepada kelompok penyokong kanannya serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia berlaku di tengah-tengah apa yang disifatkan Haaretz sebagai pengasingan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap perdana menteri Israel itu.
The Guardian melaporkan, Netanyahu berikrar untuk ‘menyelesaikan tugas’ di Gaza ketika delegasi meninggalkan dewan sebagai tanda protes.
Bagaimanapun, The Washington Post menyifatkan, tindakan keluar beramai-ramai itu sebagai sebahagian daripada ‘tentangan global yang hebat’ terhadap dasar Israel.
Akhbar Britain, Independent berkata, Netanyahu sebenarnya hanya bercakap kepada satu kelompok khalayak.
Pada masa sama ketika Netanyahu berucap di ibu pejabat PBB, satu protes diadakan berhampiran Times Square di New York dengan penunjuk perasaan melaungkan slogan yang menggesa supaya perang Israel di Semenanjung Gaza ditamatkan.
Kejadian itu berlaku ketika perang Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan jumlah besar korban orang awam, manakala kritikan antarabangsa terhadap dasar Israel berhubung Gaza dan wilayah Palestin terus meningkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

