Pelakon dan pengacara terkenal, Zoey Rahman berkongsi khabar duka apabila sepupunya, Fakhrul Arif Rosli disahkan antara 15 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Berita tersebut dimaklumkan kepada Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 40, melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga sejurus selepas kejadian subuh tadi.
Zoey Rahman hanya tahu jumlah korban sebelum disahkan sepupu meninggal dunia…

Menurut Zoey, pada awalnya mereka hanya diberitahu tentang jumlah korban yang terlibat tanpa dapat mengesahkan nasib sepupunya.
Saya menerima khabar tersebut subuh tadi dalam group WhatsApp keluarga. Mula-mula kami tidak tahu arwah selamat atau tidak, cuma tahu 15 orang saja yang meninggal.
Tapi selepas beberapa minit baru dapat berita mengesahkan dia meninggal di tempat kejadian.- Katanya.
Difahamkan, arwah Fakhrul Arif dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu.
Harap pihak bertanggungjawab ambil tindakan…

Zoey turut meluahkan harapan agar pihak berwajib mengambil tindakan susulan tragedi ini memandangkan kes seperti ini kerap berlaku setiap kali musim perayaan.
Saya harap keluarga arwah dan mangsa yang lain tabah dengan ujian ini. Kemalangan memang tiada dapat dielakkan tapi saya harap ada tindakan selepas kejadian ini.
Setiap kali musim perayaan ada saja perkara seperti ini berlaku melibatkan kenderaan berat.- Tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan 15 individu termasuk beberapa pelajar UPSI maut dalam nahas membabitkan bas dan sebuah Perodua Alza di kawasan berbukit JRTB, Gerik. Beberapa lagi mangsa kini masih dirawat di Hospital Gerik dengan ada yang dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Pssttt! Kejadian ini mengingatkan kita bahawa keselamatan jalan raya bukan perkara remeh. Setiap pihak, sama ada pengguna jalan raya mahupun pengendali kenderaan awam, harus lebih berhati-hati, apatah lagi melibatkan nyawa ramai. Doakan agar keluarga semua mangsa terus kuat dan semoga ada penambahbaikan dari sudut penguatkuasaan dan keselamatan.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!