mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu integriti dalam penguatkuasaan papan tanda awam, khususnya yang membabitkan bahasa pada papan tanda perniagaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan secara adil, telus dan tidak berat sebelah bagi memastikan kepercayaan masyarakat terus terpelihara serta keharmonian pelbagai budaya dikekalkan.
“MCW menyeru supaya undang-undang kecil berkaitan papan tanda dikuatkuasakan secara berkala dan seragam di semua bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Miri dan Kota Kinabalu.
“Fokus eksklusif kepada Kuala Lumpur boleh mencetuskan persepsi tidak konsisten atau berat sebelah,” katanya.
Menurut beliau, MCW juga mencadangkan penubuhan Platform Aduan Awam Online bagi membolehkan masyarakat memuat naik gambar papan tanda yang tidak mematuhi peraturan.
“Aduan ini boleh dihantar terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan pantas seterusnya meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan ketelusan,” katanya.
Beliau berkata, menegakkan keutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah penting, tetapi perlu dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.
“MCW mencadangkan pihak berkuasa menjalankan sesi penerangan dan dialog bersama peniaga bagi memastikan semua pihak memahami peraturan dan kepentingannya.
“MCW juga mencadangkan supaya aduan awam yang tidak diambil tindakan dijadikan sebahagian daripada penilaian penanda aras prestasi (KPI) agensi penguat kuasa PBT. Ini akan memastikan penguatkuasaan lebih responsif dan telus,” katanya.
Menurut beliau, MCW bersedia untuk bekerjasama dengan DBKL, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PBT lain dalam memberikan pandangan konstruktif serta solusi praktikal dalam isu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




