mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 1,111 majikan bagi tempoh Januari hingga 15 Julai lalu kerana melakukan kesalahan imigresen.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dari perspektif imigresen, sekiranya siasatan mendapati majikan menggajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau menggajikan warga asing yang melanggar syarat pas atau permit, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, pendekatan JIM bukan saja mensasarkan warga asing yang melakukan kesalahan, malah turut mengambil tindakan terhadap pihak yang mewujudkan permintaan atau memberi ruang kepada pelanggaran undang-undang imigresen.
“Susulan itu, setakat 15 Julai lalum seramai 1,111 majikan sudah ditahan atas kesalahan imigresen.
“Di samping itu, JIM turut mengemukakan surat pemakluman kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung hasil operasi dan kesalahan yang dikesan supaya tindakan susulan dapat diambil mengikut bidang kuasa mereka, termasuk berkaitan lesen perniagaan dan pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.
Zakaria berkata, pendekatan ini memastikan setiap kes ditangani secara bersepadu, membabitkan perkongsian maklumat dan tindakan susulan oleh agensi berkaitan, sekali gus memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta mengelakkan premis atau pihak yang sama terus mengulangi kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




