Seramai 230 kakitangan SWM Environment terima vaksin

JOHOR BAHRU – Seramai 230 orang daripada 4,568 kakitangan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) yang bertugas di barisan hadapan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini telah menerima suntikan vaksin.

Ia diterima secara berperingkat di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, pihaknya bekerjasama erat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan kelancaran perlaksanaan program imunisasi tersebut sekali gus menjayakan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.

Katanya, anggota SWM Environment Cawangan Kluang dan Cawangan Simpang Renggam telah dipilih oleh PKD Kluang untuk mengetuai pemberian suntikan vaksin berkenaan di Dewan Jubli Intan Kluang.

“Keseluruhan 15 cawangan SWM Environment di negeri Johor akan menyelaras dan membantu PKD masing-masing. Ini kerana ianya diyakini bagi melancarkan lagi perlaksanaan program imunisasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah De Leong, program imunisasi tersebut melengkapi pelbagai langkah pencegahan yang dilaksanakan pihak SWM Environment sejak penularan peringkat awal pandemik Covid-19.

Ini sekaligus memastikan anggota kerja yang bertugas di lapangan bebas daripada pandemik berkenaan, katanya.

Sementara itu, pihak SWM Environment mengingatkan orang ramai agar terus membudayakan amalan norma baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik  antaranya dengan memastikan sisa pelitup muka dibuang secara tertib ke dalam tong sampah.- MalaysiaGazette