Serang Rafah: Joe Biden, Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya – Hamas

Serang Rafah: Joe Biden, Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya – Hamas

GAZA, Palestin – Hamas berkata serangan oleh Israel di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza adalah kesinambungan “pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan secara paksa.”

Lebih 100 orang terbunuh akibat serangan udara Israel di bandar Gaza selatan, menurut sumber Palestin, di tengah-tengah bantahan antarabangsa terhadap serangan darat yang dirancang Israel.

Kawasan itu terletak di sempadan Gaza dengan Mesir, yang mana Israel memaksa orang awam berpindah ke situ selepas mendakwa ia adalah zon selamat.

“Serangan itu mengesahkan kerajaan Netanyahu tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang meluluskan langkah segera untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai tindakan pembunuhan beramai-ramai,” kata Azat al-Rashq, seorang pemimpin Hamas, di Telegram.

Beliau berkata, pentadbiran Joe Biden bersama-sama dengan kerajaan Benjamin Netanyahu, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembunuhan beramai-ramai itu.

Oleh itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera campur tangan bagi menghentikan pencerobohan Israel dan jenayah terhadap orang awam.

Rakyat Palestin telah mencari perlindungan di Rafah ketika Israel menggempur seluruh wilayah itu sejak pencerobohan Hamas pada 7 Oktober lalu.

engeboman tanpa henti telah membunuh lebih daripada 28,000 orang dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran, perpindahan, dan kekurangan keperluan asas.

Mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam keputusan sementaranya bulan lalu, mengarahkan langkah sementara bagi kerajaan Israel untuk menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai, dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza. – Agensi