Serang, tumbuk pemandu lain angkara tak puas hati

Serang, tumbuk pemandu lain angkara tak puas hati

rnoraina@hmetro.com.my

Bentong: Tidak puas hati di jalan raya dipercayai punca seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan menyerang dan mencederakan pemandu kereta lain di Kilometer 10.3 Jalan Genting Highlands, arah turun, dekat sini.

Rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang menunjukkan kejadian itu turut tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan mendapati kes berlaku kira-kira 9 pagi pada 3 Ogos lalu.

“Lelaki berusia 32 tahun mendakwa dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Subang Jaya dan mendapati sebuah kereta dipandu suspek secara berbahaya, brek mengejut serta menghalang laluan mangsa.

“Mangsa berjaya memotong menyebabkan suspek mengejar dan melanggar bahagian belakang kereta mangsa.

“Mangsa memberhentikan kenderaannya dan secara tiba-tiba suspek menyerang dengan menumbuk muka serta mencederakan leher mangsa.

“Dua rakan mangsa iaitu lelaki dan wanita berusia 22 tahun meleraikan pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, polis menahan suspek berusia 24 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada hari sama.

Menurut Zaiham, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top