Serangan di majlis pengebumian di Kordofan ragut 40 nyawa

Serangan di majlis pengebumian di Kordofan ragut 40 nyawa

Port Sudan: Serangan ke atas sebuah majlis pengebumian di bandar strategik El-Obeid, Kordofan Tengah, Sudan, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan itu berlaku ketika kumpulan paramilitari Rapid Support Forces (RSF) dilihat bersiap sedia melancarkan serangan di kawasan berkenaan.

Pejabat kemanusiaan PBB, Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan, puluhan lagi mangsa turut cedera dalam insiden itu.

“Seperti sebelumnya, OCHA menggesa gencatan senjata serta-merta dan menyeru semua pihak melindungi orang awam serta mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

RSF sebelum ini menawan El-Fasher, kubu terakhir tentera di wilayah Darfur, sekali gus menguasai kelima-lima ibu negeri di kawasan itu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan Sudan bakal terbahagi dua dengan RSF menguasai barat dan selatan, manakala tentera mengawal wilayah utara, timur dan tengah.

Dalam pada itu, mangsa pelarian dari El-Fasher turut mendakwa berlaku kes rogol beramai-ramai dan penderaan seksual dilakukan anggota RSF.

Imej satelit dikeluarkan Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Universiti Yale turut menunjukkan bukti kekejaman berlaku ketika penawanan El-Fasher.

Susulan peperangan yang berlaku, RSF dituduh menerima bekalan senjata dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun negara itu menafikan dakwaan berkenaan.

Tentera Sudan pula dipercayai disokong Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan Iran.

Pertempuran yang bermula sejak 2023 itu sudah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa jutaan penduduk melarikan diri.

Amerika Syarikat (AS) dilapor mengemukakan cadangan gencatan senjata namun belum didedahkan kepada umum.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan dan menamatkan konflik segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top