am@hmetro.com.my
Rembau: Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah berikutan ancaman keselamatan susulan serangan pemberontak Houthi terhadap Arab Saudi yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun kerajaan tidak mengeluarkan larangan rasmi, langkah menangguhkan perjalanan itu amat penting demi keselamatan jemaah negara ini.
Katanya, Kementerian Luar cuma memberi nasihat kerana mendapati perjalanan ke Arab Saudi dikategorikan sebagai tidak selamat.
“Jika tidak ada apa-apa keperluan yang mendesak, Kementerian Luar menasihatkan supaya tangguhkan dulu. Namun terpulanglah kepada jemaah, mereka boleh berunding dengan syarikat yang menguruskan pakej umrah mereka.
“Lagi pun umrah boleh dibuat bila-bila masa,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan pelajaran, am dan warga emas Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Kementerian Luar mengklasifikasikan perjalanan ke rantau berkenaan sebagai tidak selamat ketika ini.
Beliau berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku jika berada di kawasan terdedah kepada serangan.
“Dalam keadaan ini, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku. Kita tidak menyangka Lapangan Terbang Riyadh boleh dibom atau peluru berpandu boleh sampai ke kawasan berkenaan. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Malaysia mengecam sebarang tindakan agresif terhadap sebuah negara yang merdeka dan mahu rundingan serta gencatan senjata segera diadakan.
Katanya, keamanan di rantau terbabit perlu dicapai seberapa segera kerana ia membabitkan orang awam yang menjadi mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




