Gaza: Serangan Israel di Hospital Nasser pada Isnin mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk empat wartawan, dengan seorang daripadanya bertugas untuk Reuters, menurut kenyataan pegawai kesihatan Palestin.
Menurut pihak berkuasa, jurukamera Hussam al-Masri, seorang petugas Reuters, terkorban dalam serangan pertama. Rakan setugasnya, jurugambar Hatem Khaled yang juga bertugas dengan Reuters, mengalami kecederaan dalam serangan kedua.
Pihak tentera Israel dan Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan sebarang komen segera berhubung serangan ini.
Saksi memaklumkan serangan kedua berlaku ketika petugas penyelamat, wartawan dan orang awam lain bergegas ke lokasi serangan pertama. Rakaman Reuters menunjukkan siaran langsung video dari hospital yang dikendalikan oleh Masri, terputus secara tiba-tiba sejurus serangan awal berlaku.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza menamakan tiga lagi wartawan yang terkorban iaitu Mariam Abu Dagga, Mohammed Salama dan Moaz Abu Taha. Malah, seorang petugas penyelamat turut terbunuh dalam kejadian itu.
Menurut Sindiket Wartawan Palestin, lebih 240 wartawan Palestin telah terkorban akibat serangan Israel di Gaza sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd