Serangan Israel ke atas hotel di Beirut ragut empat nyawa

Serangan Israel ke atas hotel di Beirut ragut empat nyawa

BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan serangan Israel ke atas sebuah hotel di pusat Beirut meragut sekurang-kurangnya empat nyawa, ketika rejim Zionis mendakwa sedang menyasarkan komander dari Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Lubnan terjerumus ke dalam perang Asia Barat pada Isnin lalu apabila kumpulan Hizbullah yang disokong Iran menyerang Israel sebagai tindak balas kepada pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei semasa serangan bersama AS-Israel.

Israel yang terus melancarkan serangan menyasarkan Hizbullah walaupun terdapat gencatan senjata pada 2024,mengambil kesempatan mengebom beberapa lokasi di Lubnan minggu ini dan menghantar tentera darat ke kawasan sempadan.

Awal Ahad, kementerian kesihatan Lubnan memaklumkan, serangan udara Israel mengenai pusat bandar Beirut, menyasarkan sebuah bilik hotel yang mengakibatkan empat maut dan 10 lagi cedera.

Di selatan Lubnan, agensi berita nasional rasmi melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam tiga serangan berasingan pada waktu malam.

Tentera Israel sebelum ini mendakwa memulakan gelombang serangan tambahan di Beirut, dengan menyasarkan pinggir selatan ibu kota yang merupakan kubu kuat Hizbullah.

Dalam satu kenyataan tentera Israel menyatakan melaksanakan serangan tepat di Beirut, menyasarkan komander utama pasukan Quds.

Kenyataan itu, yang tidak menyebut lokasi tepat, mendakwa komander yang tidak dikenali itu merancang serangan pengganas terhadap Israel dan rakyatnya.

Israel menegaskan, akan terus menghapuskan secara tepat komander rejim Iran di mana sahaja mereka beroperasi.

Seorang jurugambar AFP di hotel yang dibom di tepi laut itu melihat satu bilik di tingkat empat dengan cermin pecah dan dinding hangus selepas pasukan keselamatan menutup kawasan itu.

Kawasan Raouche yang menempatkan hotel berkenaam merupakan destinasi pelancongan utama dan sebelum ini tidak terjejas oleh serangan Israel sepanjang perangnya terhadap Hizbullah yang berakhir dengan gencatan senjata pada November 2024.

Puluhan tetamu yang panik dilaporkan melarikan diri dari hotel bersama bagasi mereka, menurut jurugambar itu.

Dua saksi memberitahu mereka terdengar bunyi letupan kuat sebelum ambulans tiba di lokasi

Kawasan sepanjang pantai Mediterranean itu menempatkan banyak hotel yang kini sesak dengan penduduk yang terpaksa berpindah dari rumah mereka di Lubnan akibat perang yang berterusan.

Ini merupakan serangan kedua Israel ke atas hotel di kawasan Beirut minggu ini.

Pada Rabu, serangan udara Israel mengenai sebuah hotel di kawasan majoriti Kristian Hazmieh, di luar Beirut, berhampiran istana presiden serta beberapa kementerian dan misi diplomatik.

Rakaman langsung AFPTV dari pinggir selatan Beirut pada Ahad menunjukkan asap selepas sekurang-kurangnya dua serangan udara berasingan dalam tempoh beberapa jam.

Sementara itu, Hizbullah mendakwa serangan roket awal Ahad menyasarkan tentera Israel dan sebuah bandar di seberang sempadan, sebagai tindak balas terhadap jenayah agresif rejim Zionis itu yang menjejaskan puluhan bandar dan pekan di Lubnan, menurut kenyataan kumpulan itu.

Hizbullah juga menyatakan pejuangnya terlibat dalam pertempuran dengan tentera Israel berhampiran bandar sempadan Aitaroun.

Siren serangan udara berbunyi di beberapa kawasan utara Israel,namun tiada laporan segera mengenai kemalangan atau kerosakan.-AFP

Scroll to Top