Serangan ke atas tapak nuklear berisiko cetus kesan radioaktif serantau – Iran

Serangan ke atas tapak nuklear berisiko cetus kesan radioaktif serantau – Iran

ISTANBUL – Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memberi amaran pada Sabtu, serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas kemudahan nuklear negara itu boleh mendedahkan seluruh wilayah kepada pencemaran radioaktif justeru menggesa tindakan segera antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, anggota Majlis Keselamatan dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi, Araghchi berkata, serangan berterusan ke atas infrastruktur nuklear Iran menimbulkan risiko alam sekitar dan manusia yang serius.

“Serangan haram ini mendedahkan seluruh wilayah kepada risiko pencemaran radioaktif yang serius, yang boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar sekali gus tidak boleh diabaikan,” katanya dalam surat itu, menurut agensi berita IRNA.

Araghchi berkata, serangan itu menyasarkan kemudahan di bawah perlindungan antarabangsa, termasuk loji kuasa nuklear Bushehr, yang disifatkannya sebagai khusus untuk tujuan damai dan beroperasi di bawah pengawasan IAEA.

Beliau menuduh AS dan Israel berulang kali menyerang infrastruktur nuklear Iran dalam beberapa bulan kebelakangan ini sambil mengkritik badan antarabangsa kerana gagal bertindak balas.

“Dalam tempoh kurang sembilan bulan, Amerika Syarikat…dan Israel…telah melancarkan dua peperangan agresif terhadap Republik Islam Iran,” katanya.

Araghchi berkata, kurangnya kecaman daripada PBB dan IAEA telah mendorong serangan selanjutnya.

Beliau juga memberi amaran bahawa kenyataan pegawai AS yang mencadangkan kemudahan nuklear boleh disasarkan, termasuk loji Bushehr, telah meningkatkan kebimbangan.

“Kini, pegawai tinggi AS, yang telah menyifatkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sebagai ‘kebodohan,’ telah berani mengisytiharkan bahawa kemudahan nuklear adalah antara sasaran mereka. Misi Tetap AS ke PBB telah secara terbuka menyatakan bahawa serangan ke atas loji kuasa nuklear Bushehr adalah ‘tidak dikecualikan’,” katanya.

Menteri berkenaan menyenaraikan beberapa serangan yang dilaporkan di tapak berkaitan nuklear sejak akhir Februari termasuk dua serangan berasingan ke atas kemudahan nuklear Natanz Iran pada 1 Mac dan pengeboman tapak pemprosesan uranium Shahid Ahmadi Roshan pada 27 Mac.

Beliau berkata, serangan berulang kali berhampiran loji Bushehr yang beroperasi amat membimbangkan.

“Kedekatan serangan ini dengan kemudahan nuklear yang beroperasi mewujudkan situasi yang tidak boleh diterima dan menimbulkan risiko kebocoran radioaktif yang serius,” katanya.

Terdahulu, serangan AS dan Israel mengena loji nuklear Bushehr Iran, mengorban seorang mangsa.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan serantau kian memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, membunuh lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei ketika itu.

Teheran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. – Bernama

 

 

Scroll to Top