Serangan terbaru Israel gegarkan Beirut dan Selatan Lubnan

Serangan terbaru Israel gegarkan Beirut dan Selatan Lubnan

Beirut, Lubnan: Serangan baharu Israel disasarkan ke pinggir selatan Beirut dan selatan Lubnan pada Selasa, selepas tentera Israel memberi amaran kepada penduduk supaya berpindah.

AFP yang memetik pihak berkuasa Lubnan melaporkan, kira-kira 760,000 rakyat menjadi pelarian sejak serangan itu berlaku.

Rakaman AFPTV menunjukkan asap menjulang dari kawasan serangan dengan rejim Israel mendakwa memulakan serangan ke atas infrastruktur Hizbullah di kawasan itu.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, seorang terbunuh dalam serangan berkenaan.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) pula melaporkan beberapa serangan di pinggir selatan ibu kota, kawasan yang dikuasai Hizbullah.

NNA melaporkan serangan dilancarkan di Abbassiyeh berhampiran Tyre, selepas tentera Israel memaklumkan akan menyerang sebuah bangunan di kawasan itu dan bandar pesisir Sidon.

Di bandar selatan Jwaya, NNA melaporkan serangan Israel membunuh Datuk Bandar dan seorang anggota majlis perbandaran.

Hizbullah dalam kenyataan berasingan memberitahu bahawa pejuangnya menyerang tentera Israel berhampiran bandar sempadan selatan Khiam dan Odaisseh serta melancarkan roket ke arah Israel termasuk ke tapak pertahanan peluru berpandu di selatan Haifa.

Kumpulan itu kemudian berkata, mereka sedang menghadapi pasukan Israel berhampiran bandar sempadan Aitaroun.

Pihak berkuasa Lubnan melaporkan bahawa serangan Israel sejak 2 Mac membunuh sekurang-kurangnya 486 orang dan mencederakan lebih 1,300 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top