Bandar Gaza, Wilayah Palestin: Serangan udara Israel membunuh 28 orang termasuk kanak-kanak di Gaza pada Sabtu, menurut agensi pertahanan awam wilayah Palestin itu, ketika tentera Israel berkata serangan dilakukan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Hamas.
Walaupun gencatan senjata memasuki fasa kedua awal bulan ini, keganasan di wilayah Palestin itu masih berterusan, dengan Israel dan Hamas saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata.
Pertumpahan darah terbaharu ini berlaku selepas Israel mengumumkan ia akan membuka semula lintasan penting Rafah antara Gaza dan Mesir pada Ahad bagi “pergerakan terhad orang ramai”.
“Sebanyak 28 syahid telah ditemui, suku daripadanya adalah kanak-kanak, satu pertiga wanita, dan seorang warga emas,” kata agensi pertahanan awam, pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa masih ada mangsa yang hilang di bawah runtuhan.
“Pangsapuri kediaman, khemah, pusat perlindungan dan sebuah balai polis menjadi sasaran, mengakibatkan bencana kemanusiaan ini,” kata jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal.
Satu unit di sebuah bangunan pangsapuri di kawasan Rimal, Gaza City, musnah sepenuhnya, dan kesan percikan darah penghuni kelihatan di jalan di bawahnya, menurut wartawan AFP.
“Tiga kanak-kanak perempuan maut ketika mereka sedang tidur. Kami menemui mayat mereka di jalan,” kata Samer al-Atbash, saudara kepada keluarga terbabit, kepada AFP.
“Gencatan senjata apa yang kamu maksudkan? Semua orang menipu satu sama lain,” tambah Nael al-Atbash.
Satu serangan turut mengenai sebuah balai polis di daerah Sheikh Radwan di Gaza City, pusat bandar terbesar wilayah itu.
Direktorat polis umum Gaza berkata tujuh orang terbunuh dalam serangan itu, manakala Bassal berkata yang terkorban termasuk empat anggota polis wanita.
“Mangsa yang terbunuh termasuk anggota dan kakitangan polis serta orang awam yang berada di balai ketika kejadian,” katanya.
Pelanggaran gencatan senjata
Kira-kira sedozen anggota penyelamat bergegas ke bangunan yang musnah dan mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan, lapor wartawan AFP.
Satu lagi serangan Israel mengenai sebuah pusat perlindungan di Al-Mawasi, kawasan selatan Gaza yang menempatkan puluhan ribu penduduk Gaza yang dipindahkan dan tinggal di khemah serta tempat perlindungan sementara, menurut wartawan AFP.
Kepulan asap tebal kelihatan naik di atas ribuan khemah yang dipasang rapat.
Jumlah korban akibat serangan ini masih belum diketahui.
Walaupun kematian berlaku hampir setiap hari di Gaza sejak bermulanya gencatan senjata pada 10 Oktober, angka korban pada Sabtu itu adalah antara yang tertinggi.
Tentera Israel berkata dalam kenyataan bahawa serangan udara itu adalah tindak balas terhadap insiden pada Jumaat, apabila lapan pejuang Palestin keluar dari sebuah terowong di bandar Rafah, selatan Gaza, yang menurutnya melanggar gencatan senjata yang rapuh itu.
Ketua pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Barsh, memberitahu AFP bahawa Israel “terus melakukan pelanggaran serius terhadap perjanjian gencatan senjata dalam keadaan kekurangan teruk bekalan perubatan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan”.
Pergerakan Pejuang Palestin, Hamas, dalam satu kenyataan mengecam serangan Sabtu itu sebagai “jenayah kejam”.
Kementerian Kesihatan, yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, berkata serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 509 orang di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Tentera Israel pula berkata empat anggota tenteranya terbunuh dalam tempoh sama di Gaza akibat serangan yang disyaki dilakukan oleh kumpulan bersenjata.
Pembukaan Rafah
Sekatan media dan akses terhad di Gaza menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas angka korban atau membuat liputan keganasan secara menyeluruh.
Sementara itu, Israel berkata pembukaan semula lintasan Rafah pada Ahad hanya untuk “pergerakan terhad orang ramai”.
Pembukaan semula itu, tuntutan utama pertubuhan kemanusiaan, merupakan elemen penting dalam fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza.
Israel sebelum ini menyatakan keengganannya untuk membuka semula pintu masuk itu sehingga ia menerima jasad Ran Gvili, tebusan terakhir yang ditahan di Gaza, yang ditemui awal minggu ini dan disemadikan di Israel pada Rabu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




