Serangan Ulu Tiram: Bapa penyerang menangis tak diajak serang balai polis, dakwa darah polis, askar 'halal dibunuh'

Serangan Ulu Tiram: Bapa penyerang menangis tak diajak serang balai polis, dakwa darah polis, askar 'halal dibunuh'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bapa penyerang insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, dua tahun lalu, pernah mendakwa ‘darah polis, institusi kerajaan dan askar ‘halal dibunuh’.

Saksi pendakwaan ketiga, Muhamad Farhan Haiqim Mohd Isa, 24, berkata, perkataan itu diucapkan tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, ketika mereka berdua berada dalam tahanan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Saksi itu berkata, Radin Imran turut mengatakan bahawa dia sedih kerana tidak diajak suspek untuk menyerang Balai Polis Ulu Tiram bersama-sama.

Perkara itu dimaklumkan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan.

“Semasa saya dalam lokap, pak cik itu (Radin Imran) tiba-tiba menangis. Saya tanya kenapa, dia kata roh anaknya (penyerang) dibawa burung hijau ke syurga. Dia sedih kerana anaknya tidak mengajaknya menyerang balai polis.

“Dia juga menyatakan darah polis, institusi kerajaan dan askar halal dibunuh oleh mereka.

“Dia kata dia tidak keluar rumah, jika keluar dia ada tanggungjawab berjihad menyebarkan ajaran dia,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, hari ini.

Saksi turut melakukan pengecaman terhadap Radin Imran serta tertuduh kedua, Radin Romyullah, yang berada di kandang tertuduh.

Muhamad Farhan berkata, tertuduh pertama turut mendedahkan hasrat untuk membunuh abang kandungnya sendiri kerana tidak sehaluan.

“Dia ada cerita bergaduh dengan abang kerana tidak mahu ikut ajarannya dan dia kata ada niat untuk bunuh abang,” katanya.

Terdahulu, saksi yang juga pelatih industri itu berkata, dia kebetulan berada di Balai Polis Ulu Tiram kira-kira jam 1 pagi, 17 Mei 2024, bersama bekas teman wanitanya bagi membuat laporan berkaitan gangguan seksual.

Menurutnya, ketika sedang berbual dengan anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di luar bangunan balai, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam dan bertopeng memasuki kawasan balai dengan menaiki motosikal.

“Lelaki itu parkir motosikal di sebelah kanan kawasan balai. Tidak lama kemudian, anggota polis yang bersama saya pergi memeriksa lelaki berkenaan sebelum saya terdengar jeritan kuat kira-kira 15 minit selepas itu.

“Saya kemudian bergegas masuk ke dalam balai untuk memanggil bantuan sebelum saya dan bekas teman wanita bersembunyi di bawah meja kerana menyedari keadaan bahaya,” katanya.

Dia berkata, beberapa minit kemudian dia terdengar beberapa das tembakan dilepaskan sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

“Selepas itu keadaan menjadi sunyi, sebelum ambulans tiba di lokasi. Saya dan teman wanita kemudian dibawa keluar ke seberang jejambat (flyover) di hadapan balai.

“Masa itu keadaan gelap dan sunyi, saya takut dan keliru kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian dihubungi polis sebelum dibawa ke IPD Seri Alam untuk dirakam keterangan dan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Saksi itu berkata, sepanjang berada dalam lokap itulah dia berpeluang mendengar sendiri perbualan tertuduh pertama berkaitan ideologi dan pandangannya.

Dalam kejadian sekitar 2.30 pagi, 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 40, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden itu.

Identiti suspek kemudiannya dikenal pasti sebagai Radin Luqman Radin Imran, 21, yang membawa kepada penangkapan lima ahli keluarga suspek.

Berdasarkan pertuduhan, bapa suspek, Radin Imran, 64, didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi Islamic State (IS) kepada empat anaknya Radin Luqman, Radin Romyullah, Farhah Sobrina, Mariah dan isterinya, Rosna Jantan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014 hingga 17 Mei 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api iaitu senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan IS.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 10.45 pagi, 17 Mei 2024 dan penghujung 2014 mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan keempat, Radin Imran didakwa dalam milikannya buku bertajuk ‘Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman’ yang berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di lokasi sama antara 10.45 pagi, 17 Mei 2024 hingga 2.30 petang, 19 Mei 2024 di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Radin Romyullah, 36, berhadapan dua pertuduhan berbaiah kepada pemimpin IS dan memiliki cakera keras mengandungi bahan IS.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Rosna, 61, Mariah, 21, dan Farhah Sobrina, 25, didakwa atas pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan itu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

Kesalahan didakwa dilakukan antara April 2017 dan 17 Mei 2024 mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan.

Semua tertuduh diwakili peguam, Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top