Serbu ganu

Serbu ganu

lizamridzuan@hmetro.com.my

Hampir 90,000 peserta hadir ke acara Himpunan RXZ Members 6.0 yang diadakan selama dua hari di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus baru-baru ini.

Ia adalah penganjuran kali keenam diadakan yang menarik pemilik motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Motosikal popular sejak 1980-an itu kekal sebagai ikon dua lejang yang menjadi idaman ramai terutama pemintat enjin sebegitu.

Penganjur Himpunan RXZ Members 6.0, Mohamad Faizal Ali berkata acara kali ini dilihat lebih lancar terutama pada pergerakan trafik yang mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Acara ini mendapat sokongan rakyat Terengganu bermula dari Lebuhraya Pantai Timur Dua di Perasing dan Paka serta beberapa lokasi lain dengan menyambut mesra kehadiran peserta oleh masyarakat setempat.

“Program permotoran besar sebegini bukan sahaja meriah malah menjana pendapatan dan ekonomi rakyat dengan menyewa hotel, rumah inap desa dan membeli barangan cenderahati untuk dibawa pulang,” katanya

Katanya, selain bandar raya Kuala Terengganu menjadi meriah pada hujung minggu itu, beberapa aktiviti menarik juga disediakan dalam acara Himpunan RXZ Members 6.0 2024 itu sendiri seperti Mesin Dyno daripada Petronas Sprinta serta pertandingan motosikal (motorshow) dengan pelbagai kategori.

Motorshow menyediakan pelbagai pertandingan antaranya seperti Restore Original Part (ROP), Original Motor (OM), RXZ Dyno Battle dan 3BS Open dengan setiap satu kategori itu disertai sekitar 80 hingga 100 motosikal.

Selain persembahan artis, pelbagai hadiah cabutan bertuah juga disediakan seperti 20 topi keledar pelbagai jenama, pakej umrah, motosikal Ducati Multisrada, Yamaha RX-Z Catalyzer, RX-Z Millenium dan Yamaha LC 135 V8.

Hadiah utama sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire 2.5L yang dimenangi pemuda dikenali sebagai Muhaimi dari Terengganu.

Himpunan RXZ Members 6.0 adalah acara tahunan sejak 2017 dan untuk kali keduanya pada tahun ini ia dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tahun ini juga adalah penganjuran yang disifatkan terbaik hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan serta Lebuh Raya Pantai Timur Dua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top