Serena sertai kumpulan pemilik Toronto Tempo

Serena sertai kumpulan pemilik Toronto Tempo

Toronto: Bekas bintang tenis, Serena Williams mengambil pegangan pemilikan dalam pasukan pertama Persatuan Bola Keranjang Wanita Nasional (WNBA) di Kanada, Toronto Tempo, seperti diumumkan awal pagi tadi.

Serena yang muncul juara Grand Slam 23 kali memulakan karier profesionalnya di Kanada pada 1995 dan akan memainkan peranan aktif dalam reka bentuk jersi Toronto Tempo serta membantu menjalin kerjasama eksklusif untuk barangan pasukan.

“Saya sangat teruja untuk mengumumkan peranan saya sebagai pemilik dalam pasukan WNBA pertama di Kanada, Toronto Tempo,” kata Williams dalam kenyataan rasmi pasukan.

“Detik ini bukan sekadar mengenai bola keranjang, ia mengenai menonjolkan nilai sebenar dan potensi atlet wanita – saya selalu percaya sukan wanita adalah peluang pelaburan yang luar biasa.”

Serena menyertai kumpulan pemilik yang turut merangkumi Larry Tanenbaum, pengerusi Kilmer Sports Ventures, NBA Board of Governors, serta Maple Leaf Sports & Entertainment, yang memiliki pasukan NBA, NHL dan MLS di Toronto.

Tempo diumumkan sebagai francais pertama WNBA di luar Amerika Syarikat (AS) pada Mei lalu akan memulakan musim pertamanya pada 2026.

Pasukan itu akan bermain perlawanan di gelanggang sendiri di arena berkapasiti 8,700 tempat duduk di pusat bandar Toronto serta beberapa perlawanan tambahan di Montreal dan Vancouver.

“Serena Williams adalah ikon, ‘role model’ dan kuasa perubahan dalam dunia ini,” kata Tanenbaum.

“Beliau mencapai kejayaan luar biasa hasil kerja keras, ketabahan dan keazaman dalam menghadapi pelbagai cabaran. Serena benar-benar mencerminkan nilai yang diperjuangkan oleh Tempo – kami berasa amat berbesar hati untuk memilikinya sebagai sebahagian daripada pasukan kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top