Seri 4-4 perlawanan hebat bagi penonton neutral – Iraola

Seri 4-4 perlawanan hebat bagi penonton neutral – Iraola

Manchester: Pemain remaja Bournemouth, Eli Junior Kroupi menjaringkan gol lewat untuk memastikan pasukannya meraih satu mata ketika seri 4-4 menentang Manchester United, sekali gus menamatkan satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) penuh dramatik dari awal hingga akhir, awal pagi tadi.

Anak buah Ruben Amorim melepaskan peluang untuk menyamakan kedudukan dengan Chelsea yang berada di tangga keempat liga, sebaliknya kini berada di tangga keenam dengan 26 mata.

Bournemouth pula berada di tangga ke-13 dengan 21 mata.

United kelihatan hampir memenangi perlawanan selepas Bruno Fernandes meletakkan mereka di depan dengan sepakan percuma menakjubkan pada minit ke-77 dan Matheus Cunha menjaringkan satu lagi gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua untuk meletakkan mereka mendahului 4-3.

Namun, pemain gantian Bournemouth berusia 19 tahun, Kroupi membuatkan penyokong United terdiam hanya lima minit kemudian selepas memanfaatkan hantaran Alejandro Jimenez pada minit ke-84.

Penjaga gol United, Senne Lammens melakukan penyelamatan penting dengan kaki kanannya untuk menahan tandukan terbang David Brooks pada minit keenam masa kecederaan bagi mengekalkan keputusan seri.

Setiap pasukan mempunyai sembilan percubaan tepat dalam perlawanan yang akan diingati sebagai klasik, dengan aksi pantas dari satu pintu gol ke pintu gol lain.

Apabila wisel penamat ditiup selepas 100 minit yang meletihkan, sukar untuk menentukan sama ada mana-mana pasukan berasa puas hati.

“Saya rasa bagi penonton neutral, ini perlawanan yang menarik,” kata pengurus Bournemouth, Andoni Iraola kepada Sky Sports.

“Ia ada segala-galanya. Saat-saat di mana anda fikir ini akan kalah. Saat-saat di mana anda fikir kami ada peluang ini, kami selesa.

“Anda tidak tahu sama ada kami gembira menamatkan perlawanan atau mahu satu minit lagi diberikan.”

Amad Diallo membuka jaringan untuk United dengan tandukan jarak dekat pada minit ke-13 selepas penjaga gol, Djordje Petrovic pada mulanya menepis hantaran silang Diogo Dalot.

Namun, pelawat secara beransur-ansur mula menyesuaikan permainan mereka dan menyamakan kedudukan melalui Antoine Semenyo pada minit ke-40.

Casemiro mengembalikan kelebihan United dengan tandukan dari sepakan penjuru pada saat-saat akhir babak pertama.

Tetapi kelebihan itu kembali dipadamkan apabila Evanilson menjaringkan gol beberapa saat selepas babak kedua bermula, sementara ribuan penyokong di Old Trafford masih belum kembali ke tempat duduk mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top