Khazanah Nasional Berhad menyifatkan usaha pemuliharaan dan pembukaan semula Seri Negara sebagai satu amanah besar dalam memelihara warisan sejarah negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pemuliharaan Seri Negara bukan sekadar melibatkan kerja baik pulih fizikal bangunan tetapi bertujuan menghidupkan semula semangat serta kisah penting yang membentuk perjalanan sejarah Malaysia.
Beliau berkata, Khazanah menghargai sokongan semua rakan pelaksana yang bersama-sama menjayakan usaha pemuliharaan tersebut.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan untuk memulihara bangunan ikonik yang begitu penting dalam lipatan sejarah negara.
“Sememangnya, pemuliharaan Seri Negara merupakan suatu amanah besar yang cukup istimewa buat Khazanah,” katanya dalam kenyataan.
Majlis penyempurnaan pemuliharaan dan pembukaan semula Seri Negara disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Amirul Feisal berkata, matlamat utama Khazanah bukan hanya memulihkan sebuah bangunan bersejarah, tetapi memastikan ia terus relevan sebagai ruang awam yang inklusif dan memberi inspirasi kepada masyarakat.
“Kami berharap agar Seri Negara akan terus berkembang menjadi ruang yang inklusif, mencetus inspirasi dan sebuah tempat di mana rakyat Malaysia serta para pelancong dapat menghargai sejarah dan warisan negara,” katanya.
Di bawah inisiatif nasional Warisan KL, Khazanah telah diamanahkan untuk memelihara dan memperbaharui lapan bangunan bersejarah utama di Kuala Lumpur.
Bangunan berkenaan merangkumi Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa serta Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad yang melibatkan Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, bekas Pejabat Ukur FMS dan Muzium Tekstil Negara.
Khazanah turut merancang pembinaan sebuah jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

Bagi melaksanakan keseluruhan inisiatif Warisan KL, Khazanah telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta.
Amirul Feisal berkata, pelaburan tersebut selari dengan strategi domestik Khazanah untuk memperkukuh keterhubungan serta kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi dan budaya.
“Pelaburan ini sejajar dengan strategi domestik Khazanah yang bertujuan memperkukuh keterhubungan dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi dan budaya yang dinamik dan rancak,” katanya.
Beliau berkata, sektor pelancongan mempunyai keupayaan menjana kesan pengganda lebih dua kali ganda terhadap ekonomi tempatan.
Beliau berkata, Seri Negara hanyalah permulaan kepada usaha jangka panjang Khazanah dalam menghidupkan semula bangunan bersejarah sebagai ruang budaya awam dan pendidikan.
Kerja pemulihan Seri Negara yang dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan mengekalkan ciri seni bina asal bangunan itu di samping meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian dan kemudahan awam.

Seri Negara kini menempatkan Galeri Seri Negara yang memaparkan perjalanan negara menuju kemerdekaan bagi tujuan pendidikan dan penghayatan sejarah.
Bangunan berkenaan turut menempatkan kafe dan restoran kendalian Serai Group yang menawarkan pengalaman menjamu selera berkonsepkan warisan.
Serai Cafe telah dibuka kepada orang awam manakala Serai House akan dibuka secara berperingkat buat sementara waktu.
Sebagai bangunan berstatus Warisan Negara, pengunjung perlu mendaftar melalui program Sahabat Seri Negara untuk melawat Galeri Seri Negara.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang www.serinegara.com.my bagi membolehkan pengunjung memilih slot lawatan yang disediakan.




