Pelakon dan model, Sharifah Haneesya tidak menafikan perjalanan kariernya dalam industri hiburan bukan mudah, malah pernah berdepan detik sukar apabila ditolak beberapa kali dalam sesi uji bakat (casting) hanya kerana bayangan kontroversi lama yang masih menghantuinya.
Mengakui berasa kecewa dengan pandangan serong masyarakat, Haneesya, 25, berkata situasi itu pernah membuatkan dia hampir putus asa dan terfikir untuk meninggalkan dunia seni yang menjadi minatnya sejak remaja.
“Sedih sangat bila orang tak tahu betapa susahnya nak sampai ke tahap sekarang. Saya dah pergi banyak casting tapi banyak kali ditolak.
“Sampai pernah rasa nak berhenti terus, nak jadi pramugari atau kahwin saja walaupun tak ada teman lelaki… sebab terlalu penat nak buktikan diri,” katanya.
Haneesya berkata demikian ketika ditemui di malam gala filem Malam Terlarang, baru-baru ini.
Aktres drama Dia Bukan Ustazah 2 itu juga mengakui dirinya bukan insan sempurna, namun berharap masyarakat tidak terus menghukum atas kesilapan lalu yang pernah dilakukannya.
“Saya tahu saya tak sempurna, tapi tak adil bila setiap perkara orang kaitkan dengan kesalahan lama. Dosa saya bukan satu, tapi janganlah hukum saya sepanjang hidup dengan benda yang dah lama berlalu,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, pada tahun 2018, nama Sharifah Haneesya pernah menjadi perhatian apabila tular video dia bersama rakan-rakan di sebuah kelab malam.
Ekoran insiden itu, gelaran Juara Dewi Remaja yang disandangnya ketika itu ditarik semula, selain beberapa tawaran lakonan turut dibatalkan oleh pihak produksi.
Artikel Berkaitan: Enggan Berdiam Diri, Sharifah Haneesya Lantik Peguam Tuntut Bayaran RM18,000 – “Ini Bukan Soal Duit, Tapi Maruah!”




